Sorting by

×

20 minit selamatkan lembu jatuh lubang

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

ALOR GAJAH 3 Jun – Anggota Pertahanan Awam Malaysia (APM) Alor Gajah berjaya menyelamatkan seekor lembu seberat 100 kilogram yang terjatuh ke dalam lubang di Kampung Ayer Mentagor di sini petang semalam.

Haiwan itu dikatakan terjatuh ke dalam lubang sedalam enam meter dipercayai bekas loji lama berhampiran kilang di situ sebelum disedari pemiliknya pukul 5 petang.

Melaka Hari Ini (MHI) difahamkan, usaha pemilik dan penduduk di situ untuk menyelamatkan lembu tersebut menemui jalan buntu berikutan keadaan lubang yang dalam serta sempit sehingga menyukarkan mereka mengeluarkan haiwan itu.

Pegawai Operasi, Bencana dan Logistik Pejabat Pertahanan Awam Daerah (PPAD), Leftenan (PA) Abdul Hadi Baharom berkata, pihaknya dengan kekuatan pegawai dan tiga anggota dikejarkan ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan pukul 5.20 petang.

Menurutnya, anggota mengambil masa kira-kira 20 minit untuk menyelamat dan mengeluarkan lembu tersebut dari lubang berkenaan.

LEMBU seberat 100 kilogram berjaya dikeluarkan dari lubang selepas terperangkap selama 20 minit di Kampung Ayer Mentagor. Ihsan APM Alor Gajah

“Permukaan lubang agak kecil sehingga menyukarkan usaha menyelamat namun dengan kaedah yang betul, haiwan tersebut berjaya diselamatkan.

“Kita mengikat tali pada badan lembu berkenaan dan mengeluarkan bahagian kepalanya terlebih dahulu dari lubang bagi memudahkan usaha menyelamat.

“Lembu itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan berada dalam keadaan lemah namun selamat,” katanya.

Operasi menyelamat lembu tersebut selesai sepenuhnya kira-kira pukul 6.10 petang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1076
Kongsi :
Previous post Bukit Aman rampas dadah lebih RM25 juta di Selangor, Kedah
Next post Dua beradik maut dalam kemalangan dengan treler
Ubah saiz-+=