20 anak Melaka ke Mekah melalui jalan darat

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

SERI NEGERI 19 Mac – Kerajaan Negeri menyampaikan sumbangan RM100,000 kepada 20 anak jati Negeri Melaka yang bakal menunaikan Umrah menerusi Jelajah Silaturahim Malaysia Ke Mekah 2024.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sumbangan itu bagi membantu peserta menempuh cabaran untuk sampai ke tanah suci melalui jalan darat sejauh 15,000 kilometer.

Jelas Ketua Menteri, perjalanan itu akan bermula pada 21 Mac dengan melalui 11 negara seperti Malaysia, Thailand, Laos, China, Nepal, India, Pakistan, Iran, Iraq, Kuwait dan Arab Saudi.

“Perjalanan mereka ini sangat mencabar kerana cuaca panas sedang melanda negara, mereka (peserta) akan sampai ke destinasi dalam masa 100 hari perjalanan.

“Mereka dijangka tiba di Mekah pada 27 April, namun ia bergantung kepada faktor pemanduan, cuaca dan kenderaan mereka.

“Jadi Kerajaan Negeri berbesar hati memberi sumbangan RM100,000 untuk jelajah ini di samping membantu peserta menguruskan perjalanan dalam keadaan lebih selesa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat pelepasan Jelajah Silaturahim Malaysia Ke Mekah 2024 di Lobi Seri Negeri di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan dan lain-lain kenamaan.

Jelajah berkenaan merupakan anjuran Aimpro Samudra Resources dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4608
Kongsi :
Previous post JKNM pantau penyakit berkaitan cuaca panas
Next post Senyuman Ramadan buat warga Tanjung Bidara, Masjid Tanah
Ubah saiz-+=