20,000 pengunjung ke UTC sejak dibenarkan operasi

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

KOTA LAKSAMANA 23 Jun – Kira-kira 20,000 pengunjung telah direkodkan hadir ke Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini sejak ia dibenarkan beroperasi pada 15 Jun lalu.

Pengurus Besar UTC, Datuk Salleh Md Dom berkata, pusat perkhidmatan pelbagai agensi kerajaan dan swasta terbabit telah mencatat kira-kira 400 pengunjung dalam tempoh sejam dengan hampir 6,000 pengunjung direkodkan sehari.

Beliau berkata sebanyak 50 agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) dibenarkan beroperasi sejak UTC dibuka kepada orang ramai.

Bagaimanapun, katanya, Prosedur Operasi Standard (SOP) yang diperketatkan dikenakan kepada orang ramai yang datang bagi memastikan penularan Covid-19 tidak berlaku di kawasan ini.

“Kita tidak mahu pengunjung yang datang untuk menjadikan lokasi ini sebagai kluster baharu sekiranya berlaku jangkitan dan inilah SOP yang menjadi garis panduan kepada pengoperasian bangunan ini.

“400 pengunjung direkodkan kebanyakannya apabila waktu puncak dan kita akan pastikan setiap orang mendaftar dan melaksanakan pemeriksaan saringan kesihatan di pintu masuk UTC.

“Malah kita menggalakkan mereka menggunakan aplikasi MySejahtera bagi memudahkan akses masuk ke bangunan ini dan setakat ini Jabatan Pengankutan Jalan (JPJ) menerima kunjungan tertinggi dengan peningkatan 50 peratus kehadiran orang ramai.

“Untuk itu, UTC terpaksa menyediakan barisan khas kepada pengunjung yang ingin berurusan dengan agensi itu bagi memudahkan aliran keluar masuk orang ramai yang hadir,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program lawatan kerja Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Rahmad Mariman, ke UTC, hari ini.

Dalam pada itu, Rahmad berkata, pihaknya gembira dengan pelaksanaan pelbagai SOP di UTC demi keselamatan orang ramai.

“Tahap kepatuhan SOP yang dikenakan di UTC kepada pengunjung begitu memuaskan dan ia perlu dicontohi oleh setiap agensi dan jabatan lain di Melaka,” katanya.

Views:

883
Kongsi :
Previous post Laman ‘Foodtruck’ Melaka Mall kembali beroperasi
Next post Penjawat awam Melaka perlu jadi ejen perubahan
Ubah saiz-+=