24 premis di Melaka tawar Menu Rahmah – KM

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

SERI NEGERI 14 Mac – Setakat 15 Februari lalu sebanyak 24 premis sekitar Melaka direkodkan menawarkan Menu Rahmah, sekali gus menyahut saranan kerajaan dalam membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, Menu Rahmah merupakan inisiatif pengusaha makanan secara sukarela menawarkan makanan pada harga RM5 bagi setiap hidangan.

“Kempen Menu Rahmah bertujuan memastikan terutamanya golongan berpendapatan rendah mendapat akses makanan dan minuman siap hidang secara harian dengan pelbagai variasi pilihan pada kadar harga mampu bayar.

“Secara keseluruhan sehingga 15 Februari lalu inisiatif ini telah dilaksanakan di 386 premis dan sebanyak 24 premis di Negeri Melaka mula menawarkan Menu Rahmah antaranya, Restoran Malaya Station, Asam Pedas Daging Tetel, Selera Padang MITC dan Aziz Empire.

“Atas rasa keprihatinan kepada permasalahan kenaikan kos sara hidup, Kerajaan Negeri terus mengambil langkah-langkah proaktif dalam memastikan isu kos kenaikan sara hidup dapat ditangani dengan baik terutamanya melibatkan golongan memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap bagi Usul Terima Kasih Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka ‘Mengupaya Potensi, Memacu Kemakmuran Negeri’ pada Persidangan Pertama, Pengggal Kedua, hari kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15, di sini, hari ini.

Ujarnya lagi, setakat 27 Februari lalu sebanyak lapan lokasi pasar raya di negeri ini telah melaksanakan Jualan Rahmah secara serentak.

“Manakala tujuh lagi pasar raya bakal menyusul dalam masa terdekat, antara pasar raya itu adalah seluruh rangkaian Pasar Raya Mydin, AEON, Family Store, NSK dan Econsave,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1360
Kongsi :
Previous post Melaka terima nilai FDI, DDI tertinggi pada 2022 – KM
Next post Melaka ‘ejen’ bekalan telur, daging
Ubah saiz-+=