252 potong ‘queue’ kena saman

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 29 September – Perbuatan pemandu memotong barisan di sebelah kiri atau potong ‘queue’ menjadi kesalahan tertinggi yang direkodkan Jabatan Penangkutan Jalan (JPJ) Negeri Melaka.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, Muhammad Firdaus Shariff berkata, sepanjang tiga hari Operasi Rentas Sempadan Zon Selatan Siri 2, 2022 bermula 27 September dan berakhir hari ini pihaknya merekodkan sebanyak 252 kesalahan memotong barisan di sebelah kiri.

Katanya, jumlah itu hampir separuh daripada 556 keseluruhan kes direkodkan dengan lokasi potong queue paling tinggi dikesan di Cheng Heights, Bertam Malim dan Padang Keladi.

“Ramai pemandu memberi alasan mahu cepat dan tidak mahu beratur panjang ketika kesesakan di kawasan berkenaan. Pemandu dan pengguna jalan raya diingatkan bahawa lorong kecemasan adalah untuk kegunaan kenderaan kecemasan seperti ambulans, kereta polis dan JPJ sahaja.

“Bagi kesalahan ini individu berkenaan boleh dikenakan denda RM2,000 atau penjara enam bulan dibawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya pada sidang media diadakan di Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Muhammad Firdaus berkata, operasi itu membabitkan pegawai penguat kuasa JPJ Melaka, Negeri Sembilan dan Johor bertujuan untuk memastikan pematuhan undang-undang jalan raya dalam kalangan pengguna jalan raya.

“Tumpuan juga diberikan kepada kesalahan membawa muatan berlebihan, operasi ini membabitkan keseluruhan 95 pegawai penguat kuasa dari ketiga-tiga negeri.

“Sebanyak 956 kenderaan diperiksa dan daripada jumlah itu 662 dikenakan tindakan atas kesalahan seperti tidak mematuhi lampu isyarat merah, tidak memakai topi keledar, tidak memakai tali pinggang, memotong di garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit, membawa lebih muatan dan muatan bahaya.

“Selain itu sebanyak 120 kes kenderaan menggunakan cermin gelap turut direkodkan sepanjang tiga hari operasi berlangsung. Selain itu, antara kesalahan lain yang dikesan adalah ubah suai kenderaan, kesalahan nombor pendaftatan, tayar dan lain lain kesalahan teknikal,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3875
Kongsi :
Previous post Perkeso, Perhebat bantu Veteran ATM cari kerjaya kedua
Next post Rezeki udang kara
Ubah saiz-+=