28 dilantik sebagai Duta Perpaduan Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 8 Disember – Seramai 28 Duta Perpaduan Melaka (DPM) dilantik bagi membantu Kerajaan Negeri menguar-uarkan aspirasi perpaduan menerusi pelbagai aktiviti yang membabitkan masyarakat.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem berkata, duta dilantik adalah dalam kalangan Sekretariat Rukun Negara (SRN) dan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam serta swasta.

“Besar harapan saya untuk melihat duta dilantik memainkan peranan dan menjalankan tanggungjawab dengan penuh komited dalam menyebar luas input positif, sekali gus mendukung aspirasi perpaduan. Kita mahu duta dalam kalangan penuntut IPT awam dan swasta bersama Kerajaan Negeri turun padang bertemu masyarakat setempat.

“Pelantikan duta ini juga secara tidak langsung membantu Kerajaan Negeri mempromosi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024),” katanya pada sidang media selepas Majlis Aspresiasi Komuniti Rukun Tetangga (RT) dan Pelantikan Duta Perpaduan Melaka Tahun 2023 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.

Hadir sama Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Melaka, Intan Suhana Yusuff.

Pada majlis sama, Hee Sem turut menyampaikan Anugerah Rukun Tetangga Peringkat Negeri Melaka Tahun 2023 kepada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang layak.

Mengulas lanjut, Hee Sem berkata pada tahun lalu Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM300,000 kepada JPNIN Melaka bagi melaksanakan aktiviti menerusi Program Komuniti MADANI.

“Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh umumkan jumlah sama iaitu RM300,000 untuk 2024, dengan adanya peruntukan ini JPNIN Melaka dapat menjalankan program melibatkan KRT dan lain-lain. Setakat ini ada 252 KRT seluruh Melaka dengan keahlian seramai 6,300 orang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1822
Kongsi :
Previous post Galeri Hang Tuah bukti Laksamana Melaka wujud
Next post KRT rujukan sosial komuniti setempat
Ubah saiz-+=