Galeri Hang Tuah bukti Laksamana Melaka wujud

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

AYER KEROH 8 Disember – Inisiatif Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) bukan semata-mata untuk merancakkan sektor pelancongan dan menarik seramai mungkin pelawat ke negeri ini.

Sebaliknya inisiatif itu dianggap sebagai strategi serampang dua mata, apabila peluang yang ada sepanjang TMM2024 turut digunakan untuk mengangkat Hang Tuah sebagai ikon bangsa Melayu.

Ketua Penyelidik Kajian Hang Tuah, Prof. Datuk Dr. Mohd Taib Dora berkata, bagi memastikan inisiatif itu mencapai objektif Galeri Hang Tuah yang dikelolakan Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) akan dibuka di Banda Hilir.

Katanya, galeri berkenaan akan mempamerkan susur galur dan kronologi menarik berkenaan kehidupan Hang Tuah yang tersohor sebagai Laksamana Melaka.

“Hang Tuah wujud, buktinya akan dipamerkan nanti. Usaha ini selaras dengan hasrat Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh mahu membetulkan sejarah-sejarah membabitkan Melaka yang dilupus dan dimanipulasi oleh penjajah.

“Saya bersama ahli penyelidik lain sedang mengumpul bahan dan manuskrip termasuk dapatan daripada sumber baharu berhubung kait dengan kedudukan serta sumbangan Hang Tuah dalam pelbagai aspek untuk dipamerkan di galeri bakal dibuka ini.

“Kita rencanakan Januari 2024, semua kajian lapangan sedang berjalan selesai, kemudian disusuli proses membawa pulang dokumen dan artifak berkaitan Hang Tuah ke Negeri Melaka bermula Februari,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau yang juga Naib Canselor Universiti Melaka (UNIMEL) berkata, semua dapatan hasil daripada kajian dilaksanakan akan dipamerkan kepada dunia.

“Kita mahu semua tahu bahawa Hang Tuah ini bukan sahaja seorang laksamana tersohor, sebaliknya juga mahir dalam hubungan diplomatik, agama dan pelbagai lagi.

“Usaha membawa pulang artifak dan dokumen berkaitan Hang Tuah dirancang diselesaikan sebelum Mei 2024,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1259
Kongsi :
Previous post Naik taraf perabot jalan atasi kemalangan di Persimpangan Pasir Gembur
Next post 28 dilantik sebagai Duta Perpaduan Melaka
Ubah saiz-+=