Sorting by

×

40 negara meriahkan kejuaraan silat dunia di MITC

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

KUALA LUMPUR 20 Julai – Kejuaraan Silat Dunia 2022 bakal menyajikan aksi yang bertenaga dan memukau para peminat sukan tempur ini yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh, Melaka pada 26 hingga 31 Julai ini.

Antara negara yang telah mengesahkan penyertaan mereka ialah India, Pakistan, Kazakhstan, Uzbekistan, Mesir dan Amerika Syarikat.

Menurut Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Megat Zulkarnain Omardin, Malaysia kini telah bersedia selaku tuan rumah untuk menerima kehadiran ribuan pesilat dunia mempamerkan aksi mereka.

“Malaysia sudah bersedia untuk membuka gelanggang bagi pesilat dari 40 buah negara untuk bertarung. Malah, persiapan dari segi logistik juga kini berada pada tahap terbaik menjelang kejuaraan dunia ini.

“Sambutan bagi edisi ke-19 ini amat baik apabila negara seperti India, Pakistan, Kazakhstan, Kanada, United Kingdom, Belanda dan Jerman akan turut serta. Malah ada beberapa negara yang turut memohon untuk berada sebulan sebelum kejohanan itu diadakan untuk berlatih bersama-sama.

“Ini juga adalah peluang terbaik untuk Malaysia mencipta kejayaan memandangkan ia adalah satu kelebihan untuk beraksi di tanah air yang sudah pasti akan membakar semangat kem Malaysia,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Megat Zulkarnain berkata, kem pencak silat negara telah bersedia untuk membawa misi besar menjelang Kejuaraan Silat Dunia edisi ke-19 itu.

Pingat dan trofi yang bakal menjadi rebutan oleh 40 buah negara pada Kejuaraan Silat Dunia 2022 yang akan berlangsung di MITC pada 26 hingga 31 Julai depan.

Menurutnya, pesilat-pesilat negara kini sedang giat menjalankan persiapan rapi menerusi latihan pusat di Pusat Latihan Silat Negara, Kompleks MSN, Nilai selama sebulan yang lepas.

“Saya melihat skuad kebangsaan berada pada tahap yang baik untuk menggalas tanggungjawab ini bagi memastikan Malaysia mencipta kejayaan yang membanggakan negara. PESAKA akan sentiasa memantau dan membantu pesilat kebangsaan mendapatkan semangat dan momentum menjelang kejohanan dunia ini.

Untuk rekod, Malaysia akan diketuai juara dunia tiga kali Al Jufferi Jamari yang berhasrat untuk menamatkan kariernya dengan gemilang sekali gus menjadikan kejohanan dunia ini sebagai pentas terakhir buatnya sebelum bersara.

Selain itu, srikandi silat negara Siti Rahmah Mohamed Nasir yang telah merangkul pingat perak pada temasya Sukan SEA di Hanoi, Vietnam baru-baru ini akan turut membawa cabaran negara bagi kategori wanita.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2234
Kongsi :
Previous post Harga minyak masak botol dijangka turun dalam masa terdekat – Nanta
Next post Mangsa langgar lari harap bantuan PERKESO
Ubah saiz-+=