Sorting by

×

Harga minyak masak botol dijangka turun dalam masa terdekat – Nanta

Masa Membaca:2 Minit, 11 Saat

KUALA LUMPUR, 20 Julai – Harga minyak masak botol dijangka akan turun dalam masa terdekat selari dengan penurunan harga minyak masak mentah dari RM7,000 per tan metrik kepada RM3,600 per metrik tan minggu ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata dalam pada itu, strategi dalam menangani inflasi dan kos sara hidup yang dilaksanakan dengan bekerjasama erat bersama Pasukan Khas Jihad Menangani Inflasi juga telah menampakkan hasil terutamanya berkaitan isu ayam dan telur.

“Strategi lima serampang yang kita laksanakan adalah kawalan harga barang keperluan asas menerusi subsidi bersasar; libat urus berterusan bersama pemain industri bagi menstabilkan harga dan peningkatan penguatkuasaan melalui kolaborasi dengan semua agensi penguatkuasaan untuk mengurangkan ketirisan terutama barang bersubsidi.

“Selain itu, strategi lain adalah dengan memperluaskan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) meliputi 613 kawasan Dewan Undangan Negeri dalam usaha mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat melalui tawaran barangan asas yang murah sehingga 20 peratus berbanding harga di pasaran setempat,” katanya.

Strategi terakhir termasuk advokasi perubahan kecil terhadap gaya hidup pengguna untuk mempengaruhi permintaan dan seterusnya harga barangan di pasaran tempatan, katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan kementerian itu hari ini.

Nanta berkata KPDNHEP akan meneruskan strategi lima serampang ini dalam menangani inflasi dan kos sara hidup yang sedang dihadapi negara dan rakyat ketika ini.

“Melalui sesi libat urus dengan pemain industri bersama kementerian lain termasuk Pasukan Khas Jihad Menangani Inflasi juga kami sudah bincang, memang sesi libat urus ini kami yakin akan beri kesan penurunan pada harga minyak masak dan barangan keperluan lain,” katanya.

Dalam pada itu, Nanta berkata sehingga kini jualan Perdagangan Borong dan Runcit Malaysia telah mencatatkan rekod baharu pada Mei 2022 dengan pertumbuhan 19.9 peratus tahun ke tahun berjumlah RM129.8 bilion seperti diumumkan Jabatan Perangkaan Malaysia.

“Sehubungan itu, KPDNHEP telah menilai semula semua inisiatif dan program kementerian berimpak tinggi agar pemulihan ekonomi negara menerusi perdagangan dalam negeri dan pendayaupayaan pengguna terus berjalan seperti dirancang,” katanya.

Terdahulu, Nanta dalam ucapannya berkata insentif pengurangan kompaun menerusi Akta Syarikat 1965 (Akta 125) yang dilaksanakan bagi tempoh bermula 1 Mac 2022 hingga 30 Jun 2022 akan dilanjutkan untuk empat bulan lagi.

“Menyelami kesukaran komuniti perniagaan yang rata-rata masih bergelut untuk kembali bangkit daripada kesan pandemik COVID-19, SSM mengambil langkah melanjutkan insentif ini untuk empat bulan lagi berkuat kuasa mulai 1 Julai 2022 hingga 31 Okt 2022.

“Bersandarkan insentif ini, syarikat dan pengarah syarikat layak mendapat pengurangan 90 peratus daripada nilai asal kompaun yang ditawarkan mengikut Akta 125. Mengikut rekod semasa, sebanyak 1,578 syarikat menikmati pengurangan kompaun sejak inisiatif ini diperkenalkan,” katanya.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

881
Kongsi :
Previous post Penganggur hina agama Islam ditahan reman
Next post 40 negara meriahkan kejuaraan silat dunia di MITC
Ubah saiz-+=