Penganggur hina agama Islam ditahan reman

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

KUALA TERENGGANU, 20 Julai – Seorang penganggur direman selama empat hari kerana disyaki menghina agama Islam melalui satu rakaman audio yang tular di aplikasi WhatsApp baru-baru ini.

Perintah reman bermula hari ini sehingga Sabtu (23 Julai) terhadap lelaki berusia 59 tahun itu dikeluarkan Majistret Nordiana Abd Aziz di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Ia bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Sementara itu menurut Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa, lelaki berkenaan ditahan kira-kira 2 pagi tadi di rumahnya di Kampung Laut, di Chendering dekat sini.

“Siasatan awal mendapati audio tersebut telah dibuat pada tahun lepas, yang mengandungi kata-kata maki hamun termasuk menghina agama Islam, namun seorang pengadu baru membuat laporan mengenainya pada 19 Julai (semalam).

“Mungkin laporan dibuat sekarang berikutan trend kes menghina agama Islam yang banyak dilaporkan pada masa ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Rohaimi berkata suspek juga didapati mempunyai enam rekod lampau membabitkan kes dadah, mencederakan orang serta ugutan terhadap ahli keluarga dan dia telah dihadapkan ke mahkamah tahun lepas.

“Kami juga syak lelaki ini mengalami gangguan mental akibat ketagihan dadah… Semasa ditahan, ujian saringan urin mendapati dia positif dadah methamphetamine,” katanya.

Rohaimi berkata pihaknya memandang serius kes membabitkan penghinaan terhadap agama kerana ia boleh menjejaskan keharmonian dan tidak akan berkompromi dengan pihak terlibat.

“Jangan sesekali jadikan agama sebagai bahan jenaka kerana ia boleh menyebabkan perpecahan dalam masyarakat,” katanya.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

860
Kongsi :
Previous post Hujan redakan kepanasan Alor Gajah
Next post Harga minyak masak botol dijangka turun dalam masa terdekat – Nanta
Ubah saiz-+=