Mangsa langgar lari harap bantuan PERKESO

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

AYER LIMAU 20 Julai – Tiada yang lebih menggembirakan seorang mangsa langgar lari selain menerima kunjungan pegawai Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi membantunya hari ini.

Fazli Rusli, 26, yang patah kaki kiri akibat kemalangan langgar lari sebuah kereta di Jalan Gangsa, Batu Berendam pada 1 April lalu, menerima kunjungan Ketua Skuad PERKESO Prihatin Melaka, Nasarudin Ahmad di kediamannya di Kampung Ramuan Cina Besar, di sini.

Pengawal keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Batu Berendam itu berkata, dia amat memerlukan bantuan PERKESO bagi membiayai kos memasang besi dalam kaki kirinya yang patah teruk akibat kemalangan jalan raya pada 1 April lalu.

Katanya, dia gagal mendapatkan tuntutan insurans pemandu kereta yang melanggarnya ketika menunggang motosikal di Jalan Gangsa, Batu Berendam kerana pemandu terbabit melarikan diri.

“Dalam kejadian jam 2.50 petang itu saya dalam perjalanan dari tempat kerja ke kedai untuk membeli makanan. Tiba-tiba kereta dari arah belakang melanggar saya, menyebabkan saya pengsan di tepi jalan dan apabila sedar, saya sudah berada dalam ambulans,” katanya ketika memberi keterangan kepada Nasarudin.

Fazli berkata, selepas dirawat seminggu di Hospital Melaka, dia dibenarkan pulang sementara menunggu kaki kirinya dipasang besi.

Anak kelapan daripada sembilan adik-beradik itu berkata, sejak kejadian itu, dia tidak mampu berdiri dan terpaksa bergantung pada kerusi roda untuk bergerak sambil menanggung kebosanan kerana tidak dapat keluar rumah.

Ibunya, Che Wa Ibrahim, 63, berkata dia reda menerima kemalangan yang menimpa anaknya namun dia tidak mampu membiayai kos mendapatkan besi berkenaan yang dikatakan bernilai lebih RM2,000.

“Terima kasih kepada PERKESO kerana prihatin terhadap nasib anak saya dan saya harap Fazli diberikan sumbangan bagi meringankan beban kos rawatan,” katanya.

Nasarudin berkata, skuad berkenaan yang ditubuhkan pada 2016 mencuba membantu dari aspek pembiayaan cuti sakit Fazli, selain beberapa faedah lain yang berkaitan dengan kecederan dialaminya.

“PERKESO mencuba membantu kes Fazli dengan mendapatkan kerjasama majikan bagi menyalurkan pelbagai dokumen pekerjaannya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1584
Kongsi :
Previous post 40 negara meriahkan kejuaraan silat dunia di MITC
Next post UTeM Jayakan Misi Kembara Persaudaraan Islam UTeM-Kemboja
Ubah saiz-+=