41 lokasi aktif longgokan sampah haram dikesan di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

AYER KEROH 16 Julai – Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) telah mengenal pasti 41 lokasi yang masih aktif menjadi lokasi longgokan sampah haram di negeri ini.

Pengarahnya, Khairuladha Ab Mutalib berkata, kesemua lokasi itu termasuk 81 ‘hotspot’ tapak longgokan sampah haram yang dikesan pihaknya sejak 2011 hingga kini.

Menurutnya, kebanyakan aktiviti haram itu tertumpu di kawasan perindustrian, tanah persendirian dan taman perumahan yang mana ia melibatkan pembuangan bahan sisa industri dan binaan.

“Ada beberapa tempat yang kita telah tutup dan tidak aktif lagi memandangkan kita telah menjalankan pembersihan dengan kerjasama SWM Environment Sdn Bhd.

“Untuk bulan ini sahaja 12 lokasi pembuangan sampah haram sekitar Krubong terutama kawasan perindustrian Krubong dan Taman Teknologi Cheng telah ditutup.

“Disamping itu kita juga sedang mengesan lokasi-lokasi baharu longgokan sampah haram dan akan mengambil tindakan dengan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam operasi pembersihan longgokan sampah haram yang dijalankan SWM Environment Sdn Bhd di Taman Jati, Batu Berendam, hari ini.

Mengulas lanjut, Khairuladha berkata, pihaknya juga sedang menyiapkan tujuh kertas siasatan untuk dibawa ke Timbalan Pendakwa Raya (DPP) bagi pendakwaan di Mahkamah membabitkan penguatkuasaan larangan pembuangan sampah secara haram seperti yang diperuntukan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

Katanya, untuk tahun ini sahaja sebanyak 22 notis pematuhan kesalahan telah dikeluarkan dan daripada jumlah berkenaan 14 premis yang tidak mengikuti peraturan pengasingan melibatkan kawasan di bawah Parlimen Hang Tuah Jaya, Jasin dan Alor Gajah.

Views:

1832
Kongsi :
Previous post Premis warga asing diserbu MPHTJ
Next post Buang sampah secara haram, punca denggi dan banjir kilat
Ubah saiz-+=