Buang sampah secara haram, punca denggi dan banjir kilat

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

AYER KEROH 16 Julai – SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) Melaka menggesa penduduk di negeri ini agar tidak melonggokkan sampah secara haram di kawasan perumahan masing-masing.

Pengurus Wilayah Melaka dan Negeri Sembilan, Dr Al’Ashari Othman berkata, hasil pemantauan di beberapa kawasan di negeri ini mendapati masih ramai penduduk tidak memanfaatkan jadual kutipan sampah secara pukal pada setiap minggu.

Jelasnya, penduduk sebaliknya lebih gemar melonggokkan sampah sesuka hati di kawasan di tepi jalan, padang dan kawasan longkang.

Katanya, tindakan tidak bertanggungjawab itu boleh menyebabkan kawasan perumahan terbabit berisiko dilanda banjir kilat, apabila tiba musim hujan, selain menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

“Kita memang ada perkhidmatan mengutip sampah pukal seminggu sekali. Penduduk hanya perlu mengikut jadual berkenaan dan mengumpulkan sampah pukal seperti ranting pokok dan lain-lain di hadapan rumah mereka bila tiba jadual kutipan tersebut.

“Tapi sekarang, kita dapati orang ramai masih mempunyai tabiat membuang sampah longgok hingga mencacatkan pemandangan dan pada masa boleh menimbulkan bahaya di kawasan perumahan masing-masing.

“Justeru, kita mengambil inisiatif untuk menjalankan operasi pembersihan di kawasan perumahan dan pada masa sama ingin mendidik masyarakat mengenai cara pengurusan sisa pepejal yang betul dan berhemah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjalankan operasi pembersihan sampah longgok di Taman Jati, Batu Berendam, pagi tadi.

Hadir sama, Pengarah SWCorp Melaka, Khairuladha Ab Mutalib dan Ahli Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Lee Chong Guan.

Mengulas lanjut, Al’Ashari turut menasihati orang ramai agar tidak melakukan kerja-kerja penebangan pokok di kawasan perumahan tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kerja-kerja penebangan pokok sesuka hati tanpa kebenaran memandangkan pokok di luar kawasan perumahan merupakan milik PBT.

“Namun, jika mereka membuat pemotongan pokok di dalam kawasan rumah masing-masing, maka itu adalah tanggungjawab mereka sendiri untuk menguruskan pembuangan sisa tebangan pokok tersebut terus ke tapak pelupusan,” katanya.

Views:

650
Kongsi :
Previous post 41 lokasi aktif longgokan sampah haram dikesan di Melaka
Next post Pusat Rehabilitasi PERKESO: Lebih 5,500 pekerja dirawat dengan peralatan berteknologi tinggi
Ubah saiz-+=