42 peratus kawasan kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung berjaya dipadamkan

Masa Membaca:2 Minit, 20 Saat

NIBONG TEBAL, 22 Jan – Sebanyak 42 peratus daripada lebih 11 hektar kawasan kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Jalan Byram di sini telah berjaya dipadamkan sehingga hari, selepas 10 hari operasi pemadaman kawasan itu melibatkan pelbagai agensi.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata ketika ini operasi pemadaman baki 58 peratus kawasan tapak pelupusan itu yang masih terbakar dengan menggunakan pelbagai kaedah sedang giat dijalankan.

“Hasil siasatan semula oleh pihak bomba ke atas tapak pelupusan sampah itu mendapati keluasan kawasan tersebut ialah lebih 33 hektar dengan kira-kira 11 hektar yang terbakar dan kerja-kerja pemadaman giat dijalankan menggunakan kaedah air serta tambakan tanah. Kita harap api berjaya dipadamkan secepat mungkin.

Langkah-langkah membuat ‘fire break’ (sesekat api) juga dibuat bagi mengawal api dari terus merebak dan pelbagai peralatan serta jentera telah digunakan malah pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang juga menggunakan dron dilengkapi kamera terma bagi membantu pihak bomba mengenal pasti titik-titik panas bagi tujuan pemadaman,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana, di sini hari ini.

Operasi pemadaman kebakaran tapak pelupusan sampah yang berlaku sejak 12 Jan itu dibantu pelbagai agensi antaranya Majlis Bandaraya Seberang Perai, Majlis Bandaraya Pulai Pinang dan syarikat pengurusan tapak berkenaan PLB Terang Sdn Bhd.

Mengulas lanjut, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia(JBPM) Pulau Pinang Mohd Hafiz Hafizan Timaradin yang turut hadir pada sidang akhbar itu berkata selain bantuan jentera dan helikopter, pihaknya turut mendapat bantuan pegawai dan anggota bomba dari Perak, Negeri Sembilan serta pasukan udara dari Pangkalan Subang untuk membantu operasi pemadaman kebakaran itu.

“Setakat ini kami tidak dapat menentukan berapa lama lagi masa yang diperlukan untuk memadamkan keseluruhan kawasan yang terbakar itu buat masa ini, ia agak sukar(untuk tentukan berapa lama) tapi kita perlu berusaha ke arah itu.

Cuma kekangan (untuk memadam kebakaran) kerana kedudukan tapak pelupusan berkenaan berada berhampiran dengan laut dan menyebabkan tiupan angin yang kuat,” katanya seramai 50 pegawai dan anggota bomba terlibat dalam operasi pemadaman pada setiap syif melibatkan tiga syif setiap hari.

Sementara itu, Pengarah JAS Pulau Pinang Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata setakat ini kepulan asap yang berpunca daripada kebakaran di tapak pelupusan itu tidak melibatkan daerah lain memandangkan indeks pencemaran udara (IPU) yang tinggi hanya dikesan di kawasan Ladang Byram sahaja.

“Jika ada mengatakan bahawa pencemaran udara itu telah sampai hingga ke bahagian pulau sebagai contoh, maka mereka boleh buat laporan terus kepada kami, tapi setakat ini berdasarkan laporan di stesen pengawasan kualiti udara di Perai, Bayan Lepas dan Universiti Sains Malaysia(USM) dalam keadaan baik,” katanya.

Tapak pelupusan sampah Pulau Burung itu diisytihar sebagai kawasan bencana tahap satu berdasarkan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Nombor 20 ia selepas kawasan kebakaran di situ mencemari kawasan sekitar dan berisiko terhadap kesihatan.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

733
Kongsi :
Previous post PRN: MIC Johor harap BN kekal kerusi tradisi
Next post PH Johor, Muda bincang kerjasama hadapi PRN
Ubah saiz-+=