50 peratus rumah terbengkalai di Melaka berjaya diselesaikan – EXCO

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

SERKAM 27 Mei – Sekurang-kurangnya sebanyak 50 peratus isu projek rumah terbengkalai di Melaka berjaya diselesaikan kerajaan negeri.

EXCO Perumahan negeri Datuk Zaidi Attan berkata, perkara itu dicapai selepas pihaknya bersama Lembaga Perumahan Melaka (LPM) memantau kesemua projek perumahan yang terbengkalai di negeri ini.

Hal itu, katanya, termasuk beberapa projek perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang terbengkalai seperti di PPR Klebang yang membabitkan lebih 200 pemohon yang terpaksa menunggu sehingga lima tahun untuk mendiami rumah terbabit.

“Beberapa projek PPR terbengkalai sebelum ini berjaya diselesaikan menerusi rundingan dan tindakan daripada pihak LPM.

“Pihak kita sentiasa memantau pembangunan khususnya perumahan yang dilaksanakan kerajaan negeri mahupun swasta.

“Secara keseluruhan, saya boleh katakan kita (kerajaan negeri) berjaya untuk memastikan bahawa penyediaan rumah kepada rakyat negeri Melaka dapat dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, malam tadi.

ZAIDI

Mengulas lanjut, Zaidi berkata, antara projek perumahan swasta terbengkalai yang sedang diusahakan ialah di Taman Seri Aman Lagenda, Ayer Limau yang hampir menemui noktah.

Beliau berkata, pihaknya telah mengarahkan kontraktor terlibat untuk menyiapkan rumah tersebut dalam tempoh enam bulan.

Selain itu, ujarnya, kontraktor terbabit turut diarah menyelaraskan pembinaan tangki dengan sistematik kerana telah dikesan beberapa bangunan tidak mempunyai tangki yang mana akhirnya akan menyusahkan pihak kerajaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2249
Kongsi :
Previous post Malaysia akan jadi tuan rumah Piala Asia 2023
Next post Ibu, nenek saudara ditahan bantu siasatan kes dera kanak-kanak
Ubah saiz-+=