500 metrik tan beras tambahan untuk pengguna Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 13 September – Keresahan pengguna di negeri ini berhubung isu kekurangan bekalan beras tempatan di pasaran reda apabila Melaka akan menerima sejumlah 500 metrik tan tambahan beras putih sehingga hujung bulan ini.

Berita gembira itu dikongsi Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh, selepas menghadiri mesyuarat bersama agensi terbabit yang membincangkan mengenai kekurangan bekalan beras tempatan serta menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menangani perkara itu yang berlangsung hari ini.

“Kita sudah mengadakan mesyuarat khas bersama beberapa pihak, antaranya Kawalselia Padi dan Beras (KPB), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Kos Sara Hidup (KPDN) selain pemborong berkaitan beras di negeri ini.

“Perkara pertama dibincangkan adalah sehingga hujung bulan ini kita akan menerima tambahan 500 metrik tan beras untuk Melaka sahaja. Kita akan pastikan apabila stok ini sampai ia akan diedarkan terus ke seluruh kedai di Negeri Melaka,” katanya.

Dr. Muhamad Akmal, yakin bahawa jumlah bekalan beras yang dinyatakan itu cukup bagi menampung keperluan semasa pengguna di Negeri Melaka.

Katanya, jika berlaku kekurangan bekalan pengguna yang terkesan diminta supaya tampil untuk membuat aduan agar penyelesaian bagi permasalahan mereka dapat diusahakan dengan segera.

“Insya-Allah (bekalan beras) cukup untuk rakyat Melaka dan sekiranya sehingga hujung bulan masih lagi tiada beras tempatan, mereka boleh memaklumkan ketiadaan bekalan itu,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pengguna mempunyai sebarang maklumat berkaitan isu beras boleh terus menghubungi agensi berkaitan termasuk KPB menerusi [email protected] atau menggunakan borang aduan melalui capaian https://skpb.kpkm.gov.my/adu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

902
Kongsi :
Previous post 5,779 sertai Perarakan Maulidur Rasul Melaka pada 28 September ini
Next post Lesen tamat tempoh, tiada insurans punca motosikal pekerja p-hailing disita
Ubah saiz-+=