53 pekerja asing berdaftar dengan Myvas Mysejahtera

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

MERLIMAU 15 Julai – Seramai 53 pekerja asing yang hadir untuk divaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Haji Ahmad Ithnin (DHAI) hari ini, disahkan berdaftar dengan Sistem Myvas MySejahtera.

Exco Kesihatan, Datuk Rahmad Mariman berkata, sebaik menyedari kehadiran pekerja terbabit menaiki dua bas pada jam 11.30 pagi, petugas PPV mengarahkan mereka menunggu di luar agar tidak bercampur dengan orang awam.

Katanya, apabila dewan telah kosong, semakan dibuat dan disahkan bahawa pekerja terbabit ada dalam senarai Sistem Myvas MySejahtera dan dijadualkan menerima suntikan hari ini di PPV itu.

“Sehubungan itu kesemua prosedur pemberian vaksin dibuat untuk mengelakkan kelewatan.

“Bagaimanapun sebaik menyedari kejadian itu, ketua PPV telah
melaporkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah Jasin pada jam 1.13 tengah hari dan diarahkan menghentikan pemberian vaksin.

“Daripada 53 pekerja itu, seramai 39 orang telah disuntik iaitu 31 warga Bangladesh dan masing-masing empat warga Nepal dan Indonesia.

“Seramai 14 orang lagi telah diarahkan pulang dan menunggu giliran vaksinasi di PPV Industri,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Rahmad, pihaknya menerusi JKNM akan memastikan langkah-langkah penambahbaikan dengan memastikan warga asing di sektor industri, pembinaan dan lain-lain diberikan suntikan di PPV khas seperti PPV industri yang berbayar dan seumpamanya.

“Pekerja asing yang telah mendapat blast MySejahtera diarah untuk ditangguhkan dan diberi janji temu ke PPV Industri pada masa akan datang.

“Bagi kes pekerja asing yang telah menerima Dos 1 di PPV Awam pada hari ini, temujanji Dos kedua akan diberikan di PPV industri pada 5 Ogos depan,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, semakan juga dijalankan kepada pihak MySejahtera KKM / MOSTI yang memaklumkan semua 53 pekerja warga asing terbabit adalah pendaftar yang sah di MySejahtera.

Katanya, MySejahtera tidak membezakan warganegara bagi pemilihan penerima vaksin Fasa 3, sebaliknya akan mendahulukan penerima vaksin yang mendaftar lebih awal.

“Begitupun, JKNM akan memastikan warganegara Malaysia diberikan keutamaan di PPV awam manakala pekerja asing ke PPV industri.

“Apa pun, bagi pihak Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM), saya memohon maaf atas kejadian berlaku dan akan memastikan perkara sama tidak berulang serta akan membuat penambahbaikan di masa depan,” katanya.

Beliau berkata, segala notifikasi ataupun pemberitahuan berkaitan dengan pemberian vaksin dibuat oleh MY-Sejahtera dan bukan di bawah kawalan JKNM.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

741
Kongsi :
Previous post Keputusan kemasukan IPTA esok
Next post PKPD Taman Mewah, Kelemak dilanjutkan sehingga 30 Julai
Ubah saiz-+=