57,328 murid Tahun Satu hingga Empat kembali ke sekolah hari ini

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

AYER KEROH 22 Julai – Pembukaan semula sekolah bagi murid Tahun Satu hingga Empat di negeri ini hari ini membabitkan 57,328 murid selepas diarahkan cuti hampir empat bulan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mac lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Jabatan Ketua Menteri (Pendidikan) negeri Datuk Noor Effandi Ahmad berkata, jumlah terbabit sekali gus merekodkan seramai 145,918 pelajar peringkat rendah dan menengah di negeri ini telah memulakan kembali sesi pembelajaran dan pemudahcara (PdPC) secara bersemuka dengan guru dalam norma baharu.

Katanya, norma baharu itu juga telah memberi keyakinan kepada ibu bapa untuk membenarkan anak mereka kembali menjalani sesi persekolahan.

“Setakat minggu lepas, pihak kami tidak menerima sebarang aduan daripada ibu bapa mahupun masyarakat berhubung permasalahan yang timbul.

“Alhamduillah, melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka pun kita tidak menerima ketidakpuasan hati dalam kalangan ibu bapa dan hari ini pun kita dapat melihat ibu bapa bersemangat apabila melihat anak-anak telah kembali ke sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi rehat Persidangan Kedua Pengga Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14, di Seri Negeri pagi tadi.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kemalangan yang berlaku di Jalan Panchor Durian Tungga – Alor Gajah pagi tadi, beliau menasihati ibu bapa agar merancang perjalanan dengan lebih baik apabila ingin menghantar anak mereka ke sekolah.

Jelas beliau, perjalanan yang tidak dirancang mengakibatkan kecuaian dalam pemanduan sehingga menyebabkan kejadian sama berlaku kembali.

Views:

247
Kongsi :
Previous post Saringan di PMA antara tindakan awal sekat penularan Covid-19
Next post Rakyat Jepun mahu Olimpik Tokyo ditunda lagi
Ubah saiz-+=