78 pegawai dan anggota berjaya tempuh ‘azab’, lulus kursus asas komando

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

 

SUNGAI UDANG 20 Ogos – Seramai 19 pegawai dan 59 anggota berjaya membuktikan kecekalan apabila menamatkan Kursus Asas Komando Siri AK/1/2023 di Pantai Betutu Laut, Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK) Kem Sungai Udang di sini, semalam.

Semua pegawai dan anggota itu dianugerahkan beret hijau dan pisau komando selepas tiga bulan menempuh pelbagai cabaran yang menguji ketahanan fizikal dan mental.

Pada upacara berkenaan, Leftenan Muda Mohd Saiful Al-Fikri Rosli dari Batalion ke-13 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Pakit Sri Aman, Sarawak diumumkan penuntut terbaik kursus berkenaan.

Upacara penganugerahan itu disempurnakan Panglima 21 Gerup Gerak Khas (GGK), Mejar Jeneral Adi Ridzwan Abdullah diiringi Komandan PULPAK, Kolonel Zulkinine Yunus.

Adi Ridzwan dalam ucapannya berkata, daripada 276 penuntut yang melapor awal, hanya 19 pegawai dan 59 anggota sahaja yang lulus menamatkan kursus berkenaan.

“Seluruh dunia memperakui kursus asas komando memerlukan fizikal dan mental paling tingggi dan semua penuntut itu berjaya mengharungi semua peringkat dan modul kursus dengan cemerlang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata dalam melahirkan anggota komando yang terlatih memerlukan kepakaran dan proses itu memakan masa bertahun untuk membentuk individu itu.

IMG_0045
MEJAR Jeneral Ridzwan memakaikan beret hijau kepada Leftenan Muda Mohd Saiful Al-Fikri pada Kursus Asas Komando Siri AK/1/2023 di Pantai Betutu Laut, Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK) Kem Sungai Udang.

Justeru katanya, beliau berharap usaha untuk mempertingkatkan kualiti modal insan GGK diperhalusi supaya kursus dan latihan dilaksanankan mencapai objektif.

“Usaha pengambilan sumber manusia secara terus daripada pusat latihan seperti ATD (Akademi  Tentera Darat), UPNM (Universiti Pertahanan Nasional Malaysia) dan PUSASDA (Pusat Latihan Asas Tentera Darat) perlu dikekalkan untuk mempertingkatkan kadar kelulusan anggota bagi mengekalkan ‘rentention plan’ dalam Gerak Khas.

“Satu kajian perlu dilaksanakan bagi mengkaji faktor kegagalan penuntut (kursus) dan mempertingkatkan tatacara pwngurusan kursus dan latihan agar tidak berlaku pembaziran sumber manusia,” katanya.

Terdahulu, pelbagai demostrasi dipertontonkan kepada tetamu dan ahli keluarga yang hadir antaranya, penyusupan melalui perairan, operasi menyelamatkan tebusan serta seni mempertahankan diri.

Pada majlis berkenaan, turut diadakan upacara kenaikan pangkat 14 pegawai daripada leftenan muda kepada leftenan yang berkuatkuasa 1 Jun lalu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

6580
Kongsi :
Previous post TMM 2024: Menginap di hotel boleh menang kereta
Next post Sabri Thai juara Muay Thai Melaka
Ubah saiz-+=