Sabri Thai juara Muay Thai Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

BANDA HILIR 20 Ogos – Atlet Muay Thai Melaka, Sabri Thai V6 berjaya merebut gelaran juara selepas menewaskan lawannya dari Indonesia, Fabian Farhan dalam Kejohanan Muay Thai Amatur dan Pro Melaka, malam tadi.

Kemenangan Sabri atau nama sebenarnya Wan Mohammad Sabri Wan Mohd Zaki,20 dari Persatuan Muaythai Melaka yang beraksi dalam kategori Pro Bawah 60 kilogram (kg) itu sekali gus melayakkan dirinya dianugerahkan Tali Pinggang Ketua Menteri.

Menurutnya, kejayaan itu sekali gus melengkapkan koleksi kelimanya memiliki tali pinggang menerusi pelbagai kejohanan yang disertainya mewakili negeri ini.

Katanya, kemenangan itu sedikit sebanyak menaikkan semangatnya untuk berdepan pada kejohanan berikutnya iaitu pada Kejohanan T- Fight pada peringkat antarabangsa, 30 September depan.

“Alhamdulillah saya dapat habiskan perlawanan pada malam ini dengan apa usaha yang telah saya lakukan.

“Namun, saya perlu lebih bersedia untuk berdepan dengan perlawanan yang lebih besar selepas ini dan memerlukan latihan yang cukup banyak sebab difahamkan dalam T-Fight itu nanti saya akan berdepan dengan pemain nombor satu negara, Ali Yaakub atau gelaran ‘Kapten Malaysia’,” katanya kepada pemberita.

e161a36c-6959-4805-8655-38c0c5e4d6ca
Sabri Thai V6

Biarpun hanya menerima Perak pada Sukan Malaysia (SUKMA) yang lalu, Sabri berkata tumpuan sepenuhnya akan diberikan pada kejohanan itu tahun hadapan dalam kategori sama.

“Saya mewakili Melaka dalam SUKMA sejak berumur 17 tahun dan sasarkan untuk mendapat emas pada SUKMA di Sarawak nanti, Insyalllah,” katanya.

Terdahulu, Kejohanan Muay Thai Amatur dan Pro Melaka diadakan di Perkarangan Menara Taming Sari turut disaksikan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan telah menerima 130 penyertaan dari seluruh negara termasuk negara luar iaitu Thailand, Arab Saudi, Yaman dan Indonesia.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan Exco Belia, Sukan dan NGO negeri VP Shanmugam.

Turut hadir, Timbalan Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan serta Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Leng Chau Yen serta tetamu lain.

Selain Tali Pinggang Ketua Menteri, atlet dari Yaman, Zahran turut berjaya merebut Tali Pinggang Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya selepas menewaskan atlet Melaka, Adam Haikal dengan gelaran Ciko.

Kejohanan tersebut turut menyaksikan tiga perlawanan lain yang berentap merebut Piala Pelancongan negeri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2698
Kongsi :
Previous post 78 pegawai dan anggota berjaya tempuh ‘azab’, lulus kursus asas komando
Next post Aura Tun Mohd Ali tarik minat peserta keluar berjoging
Ubah saiz-+=