800 sahut cabaran larian denai Gunung Ophir
ASAHAN 13 September – Seramai 800 peserta tempatan dan luar negara bakal menguji kemampuan diri dengan menyertai acara larian lasak, Mount Ophir Ultra Trail Melaka 2023 (MOUT2023) di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN) Saujana Asahan, di sini, dijadualkan pada 16 dan 17 September ini.
Pengurus Kompleks MSN Saujana Asahan, Mohamad Nizam Abu Talib berkata, acara larian denai berlangsung dua hari itu membabitkan jarak 10 kilometer (km), 25km dan 50km.
Menurut beliau, MOUT 2023 merupakan acara larian lasak anjuran Mount Goat Event itu bukan sahaja menguji ketahanan mental dan fizikal, sebaliknya menjadi medan terbaik mempromosikan destinasi menarik khusus menjelang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
“Pelepasan peserta akan dilakukan di Kompleks MSN Saujana Asahan, setiap langkah mencabar pelumba, mereka perlu melepasi halangan bentuk muka bumi semula jadi sepanjang larian menawan Gunung Ophir (Gunung Ledang).
“Gunung Ophir setinggi 1,276 meter adalah puncak tertinggi di Negeri Johor, terletak dalam daerah Tangkak yang bersempadan dengan Negeri Melaka serta Negeri Sembilan
“Lebih dikenali dengan Gunung Ledang, tanah tinggi ini menyimpan 1,001 sejarah, legenda dan mitos yang mana ia juga bakal memberi pengalaman baharu kepada peserta,” katanya.
Terdahulu, pada Selasa, Mohamad Nizam yang juga Pegawai Projek MOUT2023 mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan MOUT2023 bersama beberapa wakil agensi dalam daerah Jasin yang terlibat menjayakan acara tersebut.
Usai mesyuarat, wakil agensi terbabit turut mengadakan lawatan ke tapak lokasi larian.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.