8,600 anak asnaf Melaka terima bantuan sekolah

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER MOLEK 15 Februari – Sejumlah RM2.58 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri menerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bagi bantuan persediaan persekolahan sesi 2024 yang akan bermula Mac depan.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, bantuan yang disalurkan menerusi Program ‘Back To School’ itu adalah bagi membantu golongan asnaf fakir, miskin dan mualaf di seluruh Melaka.

Jelasnya, bantuan persekolahan itu merupakan antara bentuk bantuan zakat yang disediakan oleh MAIM setiap tahun kepada mereka yang layak.

“Untuk sesi persekolahan 2024 ini terdapat seramai 8,600 penerima yang layak dengan membabitkan jumlah perbelanjaan sebanyak RM2,580,000 dengan setiap penerima menerima bantuan bernilai RM300.

“Daripada 8,600 penerima itu, seramai 350 orang adalah fakir; 8,000 orang miskin dan 250 pula adalah asnaf mualaf. Kaedah pengagihan ini adalah menggunakan kaedah nilai pukal untuk seorang penerima,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengagihan (Baucar) ‘Back To School’ Kepada Asnaf Fakir Dan Miskin MAIM Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek, semalam.

Majlis yang berlangsung di Kompleks Japerun Ayer Molek itu turut dihadiri Pengurus Baitulmal MAIM, Mohd Hairulamin Mohd Sis.

Mengulas lanjut, Rahmad yang juga Timbalan Pengerusi MAIM berkata, disebabkan kenaikan kos keperluan harian, Kerajaan Negeri melalui keputusan Mesyuarat MAIM Bil. 2/2023 bersetuju menaikkan kadar bantuan sebanyak RM100 bagi setiap penerima.

“Menerusi mesyuarat diadakan itu, keputusan bersetuju memberikan kadar bantuan pada tahun ini sebanyak RM300 kepada setiap orang ia berikutan nilai yang munasabah bagi kadar harga semasa barangan.

“Ini juga berikutan daripada peningkatan jumlah kutipan zakat keseluruhan yang dicapai pada 2023 iaitu sebanyak RM128.3 juta dengan peningkatan hampir RM10 juta,” katanya.

Jelasnya, bagi DUN Ayer Molek sejumlah RM116,700 diperuntukkan yang membabitkan seramai 389 penerima yang terdiri daripada anak asnaf.

“Bantuan persekolahan ini bukan sahaja untuk meringankan beban ketua keluarga malah sebagai galakan dan sokongan moral kepada penerima dalam mengutamakan aspek pendidikan anak-anak,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

920
Kongsi :
Previous post Gunung Melaka bukan ‘biasa-biasa’
Next post Jangan lupa Jualan Ihsan Rahmah TMM2024 setiap 24 hari bulan
Ubah saiz-+=