
APLIKASI ‘MPHTJ PAY’ BAKAL DILENGKAPI FUNGSI BAHARU
AYER KEROH 24 April – Aplikasi pembayaran Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) ‘MPHTJ PAY’ bakal dinaik taraf dengan penambahan fungsi baharu bagi meningkatkan kecekapan serta kemudahan urusan dalam talian kepada orang awam.
Yang Dipertua MPHTJ Datin Sapiah Haron berkata, fungsi baharu itu termasuk kemudahan pertukaran hak milik serta bayaran kompaun di bawah Sistem Pengurusan Urusan Kompaun (SPUK) dan Sistem Pengurusan Lesen Komposit (SPLK).
“Usaha ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Jabatan Teknologi Maklumat MPHTJ dalam memperkukuh sistem perkhidmatan digital.
“Ini sekali gus memudahkan orang ramai menjalankan urusan berkaitan secara lebih cepat, mudah dan efisien tanpa perlu hadir secara fizikal ke kaunter,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan MPHTJ bagi April 2025 anjuran Jabatan Teknologi Maklumat Unit Undang-Undang dan Unit Audit Dalam di Kompleks Melaka Mall, di sini, baru-baru ini.
Turut hadir, Ketua Ahli Majlis MPHTJ Clr. Wan Mohammed Fairus Wan Abdullah; Timbalan Ketua Ahli Majlis Clr. Esrul Efindi Dahlan serta lain-lain kakitangan MPHTJ.
Mengulas lanjut, Sapiah berkata portal rasmi MPHTJ juga sedang dinaik taraf dengan penambahan fungsi Kecerdasan Buatan (AI) melalui pembinaan ‘chatbot’.
“Pembinaan ‘chatbot’ ini akan membantu menjawab pertanyaan awam berkaitan perkhidmatan dan maklumat Majlis secara automatik dan interaktif,” ujarnya.
Katanya lagi, Jabatan Teknologi Maklumat MPHTJ turut dalam perancangan untuk meningkatkan kawalan bekalan elektrik menerusi penggunaan Power Over Ethernet (POE).
“Inisiatif ini bertujuan memastikan semua perkakasan, perisian dan pelayan (server) dapat dimatikan secara teratur mengikut prosedur yang ditetapkan, sekali gus mengelakkan kerosakan peralatan ICT,” katanya.
Beliau menyifatkan pendekatan bersepadu itu sebagai satu langkah proaktif dalam mendepani keperluan digital semasa.
“Kita mahu memastikan MPHTJ kekal relevan sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) yang efisien dan berorientasikan perkhidmatan rakyat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.