Sorting by

×

JAGA SOLAT, AMAL SURAH YASIN RAHSIA PELAJAR TAHFIZ RAIH 11A SPM

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 17 Mei – Sentiasa menjaga solat lima waktu dan solat sunat taubat menjadi rahsia seorang pelajar tahfiz meraih keputusan 11A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.

Kecemerlangan itu melayakkan Muhammad Ridhwan Faizul Azmey, 17, dipilih sebagai penerima Anugerah Ulul Albab pada Majlis Graduasi Huffaz dan Apresiasi Kecemerlangan Ulul Albab 2025, Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab Melaka.

Anak keempat dari lapan beradik itu berkata, selain menjaga solat dan hubungan dengan insan sekeliling, dia juga sering mengamalkan bacaan surah Yasin dalam kehidupan seharian, termasuk ketika menduduki peperiksaan.

“Saya diajar untuk sentiasa menjaga solat lima waktu dan tidak pernah melupakan solat sunat taubat serta bacaan surah Yasin. Alhamdulillah, amalan itu membantu saya mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM dengan keputusan 11A.

“Selain itu, saya cukup menjaga hubungan baik dengan rakan sekelas serta menghormati mereka. Saya tidak pernah berdendam dengan ini sebarang masalah saya berkaitan dengan subjek-subjek yang mungkin saya tidak faham, merekalah yang banyak membantu,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan.

Terdahulu, anugerah tersebut disampaikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi merangkap pengasas Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab Melaka.

Muhammad Ridhwan yang berasal dari Alor Gajah merupakan antara 11 pelajar yang meraih keputusan cemerlang 11A pada peperiksaan SPM 2024 yang diumumkan baru-baru ini.

Tidak hanya itu, dia turut mengikut jejak langkah abangnya yang turut mendapat pendidikan di sekolah sama dan meraih keputusan 11A.

Menurut anak muda itu, penganugerahan yang diterima itu merupakan satu pembakar semangat untuknya dalam terus mencapai kejayaan lebih cemerlang di menara gading.

Dia turut menyuarakan minat untuk melanjutkan pengajian dalam kejuruteraan kimia di mana-mana universiti dalam Malaysia yang menawarkan bidang tersebut.

“Saya cukup gembira dengan anugerah yang diberikan serta menyemarakkan semangat saya untuk mencatat keputusan cemerlang apabila diterima masuk di mana-mana institusi pengajian tinggi (IPT) tidak lama lagi,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1377
Kongsi :
Previous post HAJI KIDS DIANGKAT JADI ACARA TAHUNAN MELAKA – KM
Next post ‘MOTOTOURISM’ BUKA LEMBARAN BAHARU PELANCONGAN MELAKA