
MELAKA SEDIA EKOSISTEM KONDUSIF UNTUK BELIA – KM
DUYONG 18 Mei – Kerajaan Negeri akan terus memperkasakan golongan belia Melaka dengan mewujudkan ekosistem yang kondusif dari sudut infrastruktur, peluang dan bimbingan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, usaha itu akan terus dilaksanakan agar segala inisiatif pembangunan belia memberi impak yang mampan dan berkekalan di negeri ini.
Katanya, Kerajaan Negeri turut bertekad untuk memastikan penglibatan belia bukan hanya pada peringkat program, tetapi terlibat aktif dari perancangan hingga pelaksanaan dasar.
“Saya yakin, hubungan erat antara kerajaan dan belia akan menjadi katalis lahirnya lebih ramai anak muda Melaka yang berwawasan, berdaya saing dan bersedia untuk menjadi pemimpin.
“Kepada semua belia Melaka saya harap teruskan sentiasa menyokong bersama Kerajaan Negeri dalam menjayakan agenda pembangunan negeri tercinta ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap seterusnya menyempurnakan Majlis Perasmian Hari Belia Negara 2025 Peringkat Negeri Melaka di Taman Rekreasi Bukit Serindit, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin dan Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam.
Turut hadir, Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri merangkap Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM) Datuk Khaidhirah Abu Zahar dan Ahli Undangan Negeri (Adun) Duyong merangkap Timbalan Exco Sains, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem serta kenamaan lain.
Dalam pada itu, Ab Rauf turut memaklumkan Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Melaka 2025 itu mempunyai 13 segmen merangkumi 30 acara.
Tambahnya, bertemakan ‘Yakin Boleh’ ia merupakan mesej jelas bahawa anak muda masa kini perlu berani mencipta peluang dan bukan sekadar menunggu peluang tiba dalam menghadapi realiti dunia yang semakin mencabar.
“Sambutan kali ini tampil lebih dinamik, dengan pelbagai acara dirangka secara inklusif bagi mencungkil dan menggilap potensi belia dalam pelbagai bidang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.