
MELAKA HARAP KERAJAAN PERSEKUTUAN SERAGAMKAN LARANGAN VAPE
SUNGAI UDANG 24 Mei – Kerajaan Persekutuan diminta menyeragamkan tindakan berhubung larangan penjualan rokok elektronik atau vape.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, satu ketetapan oleh kerajaan dapat membantu memudah tindakan menguatkuasakan larangan berkenaan di seluruh negara termasuk Negeri Melaka.
Namun, ujar beliau, di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Melaka, larangan itu sedia dilaksanakan sebaik mendapat satu garis panduan yang jelas, selain ketetapan yang dibuat di peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
“Saya difahamkan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka akan mengangkat kertas cadangan berhubung vape dan saya percaya di peringkat Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh sangat cakna dengan masalah berkaitan vape sejak akhir-akhir ini.
“Namun, sebelum larangan atau pengharaman (vape) dibuat, kita juga perlu memikirkan kaedah menang-menang dengan usahawan terlibat, termasuk mengadakan libat urus bersama pihak berkepentingan sebelum tindakan diambil.
“Namun, apa sekalipun, aspek keselamatan dan kesihatan terutama untuk anak-anak kita dan generasi muda inilah yang perlu diutamakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sambutan Hari Tibi Sedunia Peringkat Negeri Melaka 2025 dan Kembara Wellness On Wheel sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang yang dirasmikan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem di Japerun Sungai Udang, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Tuminah Kadi@Mohd Hashim; Pengarah Kesihatan Negeri Melaka Dr. Ruzita Mustaffa; Pegawai Daerah Melaka Tengah Mohd Shaiful Hizam Johan serta lain-lain kenamaan.
Dalam pada itu, Rais yang juga Penyelaras DUN Sungai Udang menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Melaka kerana telah memilih DUN Sungai Udang sebagai lokasi sambutan Hari Tibi Sedunia bersempena WRUR.
Katanya, warga Sungai Udang mendapat pelbagai manfaat daripada sambutan itu antaranya menerusi jelajah Wellness On Wheel, pemeriksaan kesihatan percuma, pameran kesihatan dan pelbagai aktiviti menarik untuk seisi keluarga.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.