
PARKLAND GROUP ‘TERBANG TINGGI’, RAIH DUA ANUGERAH UTAMA STARPROPERTY AWARDS 2025
KOTA LAKSAMANA 24 Mei – Parkland Group terus menjadi antara pemaju hartanah diyakini di Malaysia apabila meraih dua anugerah utama pada StarProperty Awards 2025, baru-baru ini.
Dua anugerah itu adalah ‘The Holiday Home Award – Excellent Award’ dan ‘The All Star Award (Top 1- Non-Listed Company)’.
Pengarah Urusan Kumpulan Parkland Group Datuk Victor Tan berkata, pengiktirafan itu merupakan satu penghargaan besar di atas usaha gigih seluruh pasukannya dalam menonjolkan projek Parkland Avenue By The Sea.
Jelas beliau, Parkland Avenue By The Sea merupakan projek utama mereka yang berkonsepkan pembangunan bersepadu terbesar di Melaka dengan menawarkan pelbagai kemudahan dan mesra pelancong.
Menurutnya, selain memiliki taman air terbesar di Melaka dan pusat komersial seluas 200,000 kaki persegi, projek tersebut juga menyediakan kawasan berjalan kaki berbumbung hanya 10 minit ke lokasi pelancongan terkenal di negeri ini.
“Semuanya direka untuk memberikan gaya hidup dan destinasi percutian yang sempurna. Kami melihat penghormatan ini bukan sahaja milik kami, tetapi juga milik setiap pelanggan yang percaya dan menyokong kami.
“Anugerah ini menjadi pemangkin untuk kami terus mengekalkan komitmen terhadap kualiti dan inovasi, sentiasa memperbaiki dan menyediakan ruang hidup yang luar biasa,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Berkongsi rahsia kejayaan meraih dua anugerah berprestij itu, Victor berkata, Parkland Group sentiasa memberi komitmen yang tidak berbelah bahagi kepada kualiti dan perhatian terhadap perincian, selain sentiasa mendengar keperluan pelanggan.
Tambah beliau, dari zon kediaman yang direka dengan teliti untuk privasi hingga ke kemudahan yang dirancang rapi, semuanya bertujuan memberikan pengalaman yang premium dan selesa.
“Paling penting, kami mempunyai pasukan yang hebat, berdedikasi dan profesional yang bekerja keras untuk menjayakan setiap projek dan mendapat kepercayaan pasaran serta pelanggan.
“Anugerah ini bukan pengakhiran, tetapi permulaan baharu. Kami sangat teruja untuk terus meningkatkan prestasi dan membawakan projek-projek menarik bagi industri hartanah di Malaysia,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.