
‘TERIMA KASIH SENTIASA HARGAI KAMI’ – PEKERJA KONICA MINOLTA
AYER KEROH 25 Mei – Rasa dihargai dan diberi pengiktirafan menjadi pemangkin semangat buat warga kerja Konica Minolta Business Technologies Malaysia (BMMY) untuk meneruskan kerjaya di syarikat itu.
Bagi Muhammad Hafiz Husaini Adenan, 28, dari Jasin, pengalaman lima tahun bersama syarikat tersebut memberinya keyakinan bahawa usaha dan kesetiaan pekerja tidak pernah sia-sia.
“Saya rasa gembira dan teruja kerana syarikat hargai hasil kerja kami. Terima kasih meraikan kami (pekerja) dalam Majlis Ulang Tahun ke-10 BMMY ‘The Oscar Night’ kali ini.
“Diharap majlis seperti ini diteruskan lagi untuk menghargai jasa pekerja. Insya-Allah selepas ini saya akan pastikan prestasi kerja yang lebih baik untuk syarikat.
“Budaya menghargai dan meraikan warga kerja adalah kekuatan utama BMMY dalam mewujudkan persekitaran kerja yang positif, harmoni dan produktif,” katanya ketika ditemui pada majlis itu di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.

Sementara itu, Bernanda Mutia Ebrianti Dwi Cahyo Iriananto, 24, dari Indonesia, menyifatkan pengiktirafan kepada warga kerja sebagai sesuatu yang istimewa dan menyentuh hati.
“Majlis ini buat saya rasa dihargai sebagai pekerja. Saya sangat bersyukur dan gembira.
“Walaupun baru bekerja dua tahun di syarikat ini, tetapi saya tidak sangka ada acara meriah sebegini untuk meraikan dan menghargai pekerja,” katanya.
Terdahulu, majlis tersebut turut dihadiri Pengarah Urusan BMMY Naoto Uryu San dan Pengarah Kanan merangkap Pengerusi Majlis Ulang Tahun ke-10 BMMY ‘The Oscar Night’, Azfaizal R. Deni.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.