
SATU DEKAD, KONICA MINOLTA TERUSKAN LEGASI
AYER KEROH 25 Mei – Menjadikan tempat kerja sebagai legasi untuk diwarisi generasi akan datang menjadi aspirasi utama Konica Minolta Business Technologies Malaysia (BMMY) sempena ulang tahun ke-10 penubuhannya.
Misi itu disuarakan Pengurus Kanan merangkap Pengerusi Majlis Ulang Tahun ke-10 BMMY ‘The Oscar Night’, Azfaizal R. Deni.
Menurut Azfaizal sambutan kali ini bukan sekadar meraikan kejayaan, tetapi sebuah manifestasi penghargaan terhadap sumbangan semua pihak yang menjadi tulang belakang syarikat sejak ditubuhkan pada tahun 2014.
Katanya, pelbagai fasa telah dilalui bermula daripada proses penubuhan, penstabilan, hinggalah ujian besar seperti pandemik COVID-19 melanda.
“Kesungguhan seluruh pasukan membolehkan BMMY terus bertahan dan berkembang dan kini kita mempunyai lebih 3,000 kakitangan di Malaysia, berbanding hanya 30 ketika mula beroperasi.
“Sebagai menghargai kesetiaan dan komitmen warga kerja, kita turut menyampaikan anugerah kepada mereka yang telah berkhidmat selama lima dan 10 tahun.
“Penghargaan khas juga diberikan kepada para pembekal yang sentiasa menyokong operasi syarikat sejak awal penubuhan,” katanya kepada Melaka Hari Ini pada majlis berkenaan yang diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.

Majlis itu turut meraikan sukarelawan dalaman yang secara konsisten membantu menjayakan pelbagai acara syarikat sepanjang tahun.
Dalam pada itu, Azfaizal menzahirkan harapan agar BMMY akan terus berkembang dan menjadi legasi yang mampu diteruskan oleh generasi masa hadapan.
“Saya nasihatkan kepada kakitangan yang baru bekerja, teruskan usaha dan hadapi cabaran yang ada.
“Sudah semestinya setiap cabaran itu ada pahitnya tetapi manisnya nanti generasi akan datang juga akan dapat merasainya,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.