Sorting by

×

TVET BUKA PELUANG JANA EKONOMI

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

LENDU 25 Mei – Bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bukan sahaja membantu seseorang itu mengenali dan mengasah potensi sebenar dalam diri, sebaliknya menjadi pemangkin kepada usaha melahirkan lebih ramai usahawan baharu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu merangkap Ketua Menteri Melaka ke-12 Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, pada masa kini, TVET menawarkan pelbagai bidang dan peluang bermanfaat untuk diterokai.

“Saya melihat ramai dalam kalangan anak muda lebih berminat ke arah gaya hidup, contohnya seperti ‘coffee lover’ atau penggemar kopi.

“Jadi, dalam kalangan mereka ini, minat untuk mempelajari bagaimana mahu menghasilkan air kopi mengikut selera semasa membuak-buak, jika bersungguh-sungguh minat itu boleh menjadi pendapatan baharu kepada mereka.

“Adalah relevan untuk kita memastikan bidang TVET ini terus dikembangkan dalam kalangan masyarakat umum,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI) ketika ditemui selepas merasmikan Program TVET X Youth Skills Kursus Asas Barista sempena Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu di Balai Raya Kampung Durian Daun Barat, semalam.

Hadir sama, Ketua Jabatan Hospitaliti Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Alor Gajah, Hairul Anuar Zakariah.

Beliau turut mengajak mana-mana institusi kemahiran atau institut pengajian tinggi (IPT) terutamanya IKTBN Alor Gajah untuk melebarkan kursus jangka pendek berkaitan TVET dalam kawasan DUN Lendu.

“Saya ada berbincang dengan wakil IKTBN Alor Gajah, agar mengadakan sebarang kursus jangka pendek di DUN ini, maka saya akan sediakan kemudahan di Japerun Lendu bagi tujuan pelaksanaan kursus itu.

“Kepada IPT lain juga, saya alu-alukan kerana niat saya adalah mahu pastikan masyarakat di DUN Lendu dapat diberikan pendedahan berhubung kursus TVET, sekali gus beri manfaat buat setiap mereka,” jelasnya.

Sementara itu, Program TVET X Youth Skills Kursus Asas Barista merupakan seliaan Perbadanan Melaka (MCORP) selaku Sekretariat TVET Melaka dan dianjurkan IKTBN Alor Gajah.

Seramai 20 peserta yang terdiri daripada komuniti setempat terlibat pada program itu, manakala empat orang tenaga pengajar dari IKTBN Alor Gajah terlibat bagi menjayakan kursus jangka pendek tersebut.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

406
Kongsi :
Previous post SATU DEKAD, KONICA MINOLTA TERUSKAN LEGASI
Next post KOMPLEKS DAKWAH, PUSAT TAHFIZ YAYASAN DMDI KOMITMEN SUBURKAN SYIAR ISLAM