Sorting by

×

USIM PUSAT SEHENTI SEBELUM KE MESIR

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

JASIN 25 Mei – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dipilih sebagai pusat sehenti kepada pelajar maahad tahfiz bagi mengikuti program persediaan sebelum menyambung pengajian ke Mesir.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelajar terpilih akan mengikuti pengajian persediaan Bahasa Arab selama setahun di universiti berkenaan.

Ahmad Zahid berkata, kelayakan diberikan kepada pelajar lepasan mahaad tahfiz yang berjaya menghafaz 30 Juzuk al-Quran termasuk memiliki Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 5 yang setaraf diploma.

“Kaedah bagi penghantaran pelajar-pelajar ke Mesir ini kita akan melakukan ‘familiarization course’ dalam Bahasa Arab di USIM.

“Persetujuan telah diperolehi antara Kerajaan Mesir dan Malaysia menerusi kementerian, agensi serta jabatan berkaitan supaya USIM menjadi ‘one stop centre’ untuk pengajaran Bahasa Arab,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Kompleks Dakwah Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) dan Pusat Tahfiz Yayasan DMDI disempurnakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, di Kampung Tersusun DMDI, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin dan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman serta Pengerusi Yayasan DMDI, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali.

Menurut Ahmad Zahid, Majlis Amanah Rakyat (MARA) juga menawarkan 100 tempat kepada pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MSRM) ulul-albab untuk menyambung pengajian dalam bidang perubatan di Mesir.

“Baru-baru ini apabila pengerusi MARA pergi ke Mesir,  Universiti Al-Azhar telah tawarkan 100 tempat untuk huffaz belajar dalam bidang perubatan serta turut diberikan diskaun yuran pengajian.

“Kami mempunyai senarai pelajar-pelajar MRSM yang memperolehi 10A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Jika memilih bidang perubatan maka keutamaan akan diberikan kepada mereka . Tetapi sekiranya memilih bidang kejuruteraan atau lain-lain mereka akan disalurkan ke universiti lain dalam dan luar negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

450
Kongsi :
Previous post WRUR MEDAN PERKASA AKAR UMBI BOLA SEPAK, BOLA JARING
Next post JANGAN ABAIKAN IMUNISASI