Sorting by

×

JANGAN ABAIKAN IMUNISASI

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

LENDU 25 Mei – Perasaan ragu-ragu dan lebih mempercayai sumber yang tidak sahih termasuk ‘dakyah’ disebarkan menerusi media sosial menyebabkan ada dalam kalangan orang ramai yang menolak proses imunisasi bagi tujuan pencegahan pelbagai jenis penyakit.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwee Hee Sem  berkata, sehubungan itu pihak seperti pemimpin masyarakat, ibu bapa, guru, imam masjid dan surau, ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta aktivis komuniti diminta memainkan peranan bagi memberikan pemahaman berhubung kepentingan imunisasi.

Katanya, imunisasi adalah benteng pertahanan individu terhadap serangan pelbagai jenis penyakit berjangkit termasuk yang boleh membawa maut seperti demam campak, difteria, influenza, hepatitis B, pertussis dan TB.

Namun menurutnya, masih ada segelintir masyarakat yang ragu-ragu atau menolak imunisasi kerana maklumat tidak tepat, lebih percayakan khabar media sosial dan pada masa yang sama enggan menerima fakta berdasarkan kajian saintifik telah membuktikan keberkesanan imunisasi mencegah penyakit berjangkit.

“Hari ini, imunisasi bukan sahaja melindungi anak-anak kita, tetapi juga membantu membentuk imuniti kelompok dapat melindungi mereka tidak dapat menerima vaksin atas sebab-sebab tertentu.

“Program imunisasi di Malaysia bukan sekadar meliputi kanak-kanak, malah telah diperluaskan kepada program dalam kalangan pelajar sekolah, orang dewasa, wanita hamil dan warga emas.

“Kejayaan Malaysia membasmi polio, mengawal campak dan mengurangkan kadar kematian bayi adalah hasil daripada program imunisasi komprehensif yang mendapat kerjasama semua golongan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Imunisasi Peringkat Negeri Melaka 2025  dan Pelancaran Kampung Sahabat Farmasi KSKU Peringkat Daerah Alor Gajah juga bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu di Dewan Komuniti, Taman Bandar Baru Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu merangkap Ketua Menteri Melaka ke-12, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, Pengarah Kesihatan Negeri,  Dr. Ruzita Mustaffa, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), Dr. Noor Aizam Mohd Said dan Pegawai Kesihatan Daerah Alor Gajah, Dr. Shazlin Umar.

Mengulas lanjut Hee Sem yang juga Adun Machap Jaya berkata, sehubungan itu pendidikan kesihatan berterusan dan pendekatan berhemah amat penting untuk meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai imunisasi

“Jangan kita biarkan dakyah dan maklumat palsu yang tular di media sosial melemahkan kepercayaan rakyat terhadap sains perubatan. Kita mesti berani menegur dan memberi pencerahan kepada mereka yang ragu-ragu. Kita mesti pertahankan anak-anak kita daripada penyakit yang sepatutnya boleh dicegah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

937
Kongsi :
Previous post USIM PUSAT SEHENTI SEBELUM KE MESIR
Next post SKUAD ANAK MUDA POGRESIF EJEN TRANSFORMASI BELIA MASJID TANAH