Sorting by

×

MELAKA SERIUS TANGANI PENINGKATAN KES JENAYAH, KEMALANGAN JALAN RAYA

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

AYER KEROH 26 Mei – Semua pihak terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) diminta untuk memberikan perhatian serius terhadap usaha menangani peningkatan jumlah kemalangan jalan raya dan kes jenayah di Negeri Melaka sepanjang empat bulan pertama tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, berdasarkan statistik dikeluarkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka sebanyak 7,871 kes kemalangan termasuk 68 kes kemalangan maut direkodkan di negeri ini bagi tempoh Januari hingga April lalu.

Ab Rauf berkata, sepanjang tempoh sama juga IPK Melaka menerima 16 laporan kes penderaan melibatkan mangsa dalam kalangan kanak-kanak dan bayi, selain 131 kejadian pecah rumah.

“Bagi kes kemalangan, Kerajaan Negeri sedang meneliti lokasi-lokasi ‘blackspot’ dan akan berusaha menambah baik daripada sudut pencahayaan lebih-lebih lagi di kawasan luar bandar bagi meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya.

“Selain itu IPK Melaka giat melaksanakan operasi ‘Mobile Road Block’ di kawasan bersasar dan Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah melibatkan kerjasama agensi penguatkuasaan lain bertujuan meningkatkan keberkesanan pemantauan serta kawalan di lokasi berisiko tinggi

“Saya menggesa semua pihak sama ada PDRM, Jabatan Pendidikan atau agensi-agensi berkaitan bekerjasama dalam mengadakan kempen kesedaran mengenai
kes-kes penderaan ini,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpuan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Bagi Bulan Mei 2025 anjuran Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Wira Ibrahim Durum, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad, Exco Pelancongan Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, barisan Exco, Timbalan Exco, Ketua jabatan, agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Mengulas lanjut Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata, hasil daripada komitmen berterusan dilaksanakan, seramai 73 individu disyaki terbabit dalam 58 kes pecah rumah diberkas.

“Tahniah saya ucapkan kepada seluruh warga IPK Melaka dan agensi barisan hadapan  yang lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

640
Kongsi :
Previous post LOGO BAHARU PERKUKUH IDENTITI ‘MELAKA RIVER CRUISE’
Next post 58 LOKASI MENARA 4G DI MELAKA