
DUA DEKAD, MELAKA RIVER CRUISE GAMIT LEBIH 15 JUTA PENGUNJUNG
AYER KEROH 26 Mei – Melaka River Cruise, produk pelancongan ikonik Negeri Melaka telah berjaya menggamit lebih 15 juta pengunjung dan pelancong domestik serta antarabangsa sejak tahun 2005.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, walaupun bermula sebagai sebuah entiti kecil dengan hanya dua bot, kini produk yang diuruskan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) terus berkembang maju dengan mengendalikan 68 buah bot yang terus menjadi tarikan utama pelancong.
Malah, beliau turut berbangga dengan pelbagai kejayaan luar biasa yang telah diraih PPSPM sepanjang dua dekad sebagai peneraju utama dalam pembangunan sektor pelancongan Melaka.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga PPSPM di bawah pimpinan Shaharul Azuar Idris selaku penyelaras penganjuran Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka pada kali ini. Sejajar itu, saya merakamkan ucapan Selamat Menyambut Ulang Tahun Penubuhan PPSPM yang ke-20.
“Pada tahun ini, PPSPM mensasarkan sekurang-kurangnya satu juta pelancong akan menaiki Melaka River Cruise.
“Daripada jumlah tersebut, 20 peratus adalah sasaran pelancong antarabangsa, manakala 80 peratus lagi adalah pelancong domestik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpuan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Bagi Bulan Mei 2025 anjuran PPSPM di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Pelacongan Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, barisan Exco, Timbalan Exco, ketua jabatan, agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan serta lain-lain kenamaan.
Pada majlis itu juga, Ab Rauf telah melancarkan penjenamaan logo baharu Melaka River Cruise bersempena sambutan dua dekad penubuhan PPSPM.
Malah, sempena perhimpunan bulanan itu juga, telah diadakan cabutan bertuah berupa satu tiket premium Cruise serta sembilan tiket tambahan secara percuma, selain pemberian diskaun 20 peratus tiket Melaka River Cruise yang boleh ditebus penjawat awam yang hadir
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.