
25 SEKOLAH DI MELAKA AKAN DIBAIK PULIH, DINAIK TARAF
AYER KEROH 26 Mei – Sebanyak 25 buah sekolah di seluruh Negeri Melaka akan dibaik pulih dan dinaik taraf selepas menerima peruntukan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ia sekali gus menyokong usaha Kerajaan Negeri dalam terus memperkukuh sektor pendidikan dan meningkatkan kualiti pembelajaran serta kemudahan di pelbagai peringkat.
Jelas beliau, kerja baik pulih itu akan dilaksanakan secara berperingkat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Sekolah rendah yang terlibat adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Hilir; SK Bukit Beruang; SK Bukit Rambai; SK Limbongan; SK Taman Merdeka; SK Telok Mas; SK Jasin; SK Dato’ Naning; SK Demang Taha; SK Durian Daun ‘K’; SK Jeram; SK Melaka Pindah; SK Othman Shawal; SK Ramuan China Besar; SK Belimbing Dalam dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Durian Tunggal.
“Manakala, sekolah menengah terpilih adalah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Melaka; SMK Tinggi Perempuan; SMK Bukit Baru; SMK Sri Mahkota; SMK Sungai Rambai; SMK Ghafar Baba; SMK Sultan Mansor Shah; SMK Sultan Alauddin dan SMK Dato’ Haji Talib Karim,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpuan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Bagi Bulan Mei 2025 anjuran Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Pelacongan Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, barisan Exco, Timbalan Exco, ketua jabatan, agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan serta lain-lain kenamaan.
Pada majlis itu, Ab Rauf turut menyampaikan anugerah kepada 19 pelajar cemerlang pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2024.
Ab Rauf berkata, keputusan SPM 2024 Negeri Melaka menunjukkan pencapaian membanggakan apabila mencatat Gred Purata Negeri (GPN) sebanyak 4.43 berbanding 4.59 pada tahun 2023, iaitu peningkatan sebanyak 0.16 mata sekali gus merekodkan pencapaian terbaik sejak tahun 2013.
Tidak hanya itu, keputusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bagi tahun 2024 juga mencatatkan satu lagi pencapaian yang membanggakan dengan mencatatkan Gred Purata Negeri (GPN) sebanyak 2.96 berbanding 2.99 pada tahun sebelumnya, selain peningkatan peratus lulus yang memberangsangkan, dengan 72.46 peratus berbanding 68.49 peratus pada tahun 2023.
“Pencapaian ini adalah hasil usaha gigih dan kerjasama seluruh ekosistem pendidikan negeri, khususnya para guru, ibu bapa, pegawai-pegawai pendidikan dan tentunya para pelajar yang luar biasa hebatnya,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.