
SYILING PERINGATAN LAMBANG TERIMA KASIH – PPSPM
AYER KEROH 26 Mei – Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) memperkenalkan syiling peringatan khas sebagai simbol penghargaan kepada orang ramai yang sentiasa menyokong perkhidmatan dan produk ditawarkan agensi itu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shaharul Azuar Idris berkata, pengenalan syiling itu juga bersempena kejayaan ‘Melaka River Cruise’ membawa 15 juta pelancong bermula 2005 hingga awal tahun ini selain sambutan ulang tahun ke-20 PPSPM.
“Syiling tersebut bukan sekadar koleksi kenangan, malah menjadi lambang komitmen jangka panjang PPSPM terhadap pemeliharaan dan pembangunan sektor pelancongan air di negeri ini.
“PPSPM memperkenalkan syiling peringatan khas ini sebagai satu tanda terima kasih kepada semua yang telah menyokong kami sejak awal penubuhan. Ia juga mencerminkan visi kami untuk menjadikan Melaka sebagai destinasi pelancongan air bertaraf dunia yang menggabungkan elemen warisan, inovasi dan kelestarian,” katanya.
Terdahulu Shaharul Azuar menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Bagi Bulan Mei 2025 anjuran PPSPM yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Pelancongan Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, barisan Exco, Timbalan Exco, ketua jabatan, agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan serta lain-lain kenamaan.
Tambah beliau, PPSPM kini giat memperluas skop pelancongan berasaskan air yang merangkumi sungai, pantai dan tasik di seluruh negeri Melaka, dengan visi untuk mewujudkan pengalaman pelancongan bertaraf dunia.
“Saya berpegang kepada prinsip kepimpinan yang inklusif berorientasikan masa depan, PPSPM mempunyai misi untuk menyediakan sebuah pasukan kerja yang berkaliber kreatif serta berdaya saing.
“Sejak 2005 PPSPM komited untuk merangka dan menawarkan pelbagai pakej pelayaran yang menarik bagi memenuhi keperluan pelancong sama ada dalam dan luar negara,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.