Sorting by

×

58 LOKASI MENARA 4G DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

LENDU 26 Mei – Melaka ICT Holding Sdn Bhd (MICTH) bersama syarikat telekomunikasi mengenal pasti sebanyak 58 buah lokasi bagi pembinaan menara komersial 4G di seluruh Melaka.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, pembinaan itu adalah antara inisiatif dalam mencapai liputan 100 peratus jalur lebar di kawasan berpenduduk.

“Daripada jumlah keseluruhan 58 lokasi itu ada yang sudah, sedang dan akan dibangunkan menara komersial baharu 4G, semua ini adalah berdasarkan perancangan sejak 2024 dan diteruskan tahun ini.

“Malah penyelesaian menggunakan Rangkaian Teras Berbilang Operator, Multi Operator Core Network (MOCN) turut dilaksanakan di kawasan-kawasan yang dikenal pasti mengalami masalah liputan lemah.

“Ini adalah antara inisiatif utama dilaksanakan bagi memastikan liputan jalur lebar 100 peratus menjelang 2025 dapat direalisasikan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Menara Telekomunikasi Kampung Baru Lendu Bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu merangkap Ketua Menteri Melaka ke-12, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif MICTH, Dr. Nazdiana Ab Wahab.

Fairul Nizam berkata, menerusi pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) pula, sebanyak 39 buah menara telekomunikasi baharu dan 370 stesen pemancar bagi rangkaian 4G dinaik taraf sejak 2022.

“Selain itu, sebanyak 215 struktur komunikasi telah tersedia dengan infrastruktur rangkaian 5G dan sehingga Disember 2024 rangkaian liputan 4G sudah mencapai kadar 99.7 peratus manakala rangkaian 5G pula meliputi 89.7 peratus di kawasan berpenduduk.

“Kampung Baru Lendu antara 10 lokasi strategik yang dikenal pasti untuk membina menara telekomunikasi ini,” katanya.

Jelasnya, pembinaan menara telekomunikasi di Kampung Baru Lendu itu adalah antara inisiatif berterusan dan komitmen Adun Lendu bagi memastikan rakyat mendapat kemudahan komunikasi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

652
Kongsi :
Previous post MELAKA SERIUS TANGANI PENINGKATAN KES JENAYAH, KEMALANGAN JALAN RAYA
Next post PERKHIDMATAN TASKA BERKUALITI DI MELAKA