
10 TAHUN, KONICA MINOLTA PERKUKUH STRATEGI DIGITAL
AYER KEROH 26 Mei – Konica Minolta Business Technologies Malaysia (BMMY) mengukuhkan kehadiran dan daya saingnya sepanjang bertapak di Melaka dengan mengimplementasikan konsep ‘Digital Manufacturing’, automasi serta ICT.
Pengarah Urusan BMMY Naoto Uryu berkata, pencapaian cemerlang syarikat itu sepanjang satu dekad di Melaka juga adalah hasil kerjasama dan sokongan rakan niaga, agensi kerajaan serta aset berharga mereka iaitu 3,000 kakitangan menjadi nadi kepada BMMY.
Uryu berkata, ulang tahun ke-10 adalah adalah titik permulaan untuk BMMY terus berinovasi dan memenuhi jangkaan pelanggan pada masa depan.
“Dalam menghadapi cabaran teknologi dan pasaran, syarikat membina pendekatan unik berteraskan asas kukuh dan sentiasa peka terhadap perubahan persekitaran. Ulang tahun ke-10 ini adalah titik permulaan baru untuk kami terus mencorak masa depan dengan teknologi digital sebagai teras kekuatan kami.
“Strategi digital yang diterapkan membolehkan BMMY bertahan dan berkembang walaupun dalam situasi genting seperti pandemik COVID-19 sebelum ini.
“Selain itu, BMMY turut memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi Melaka dengan membina rantaian atau ekosistem bekalan yang kukuh berpusat di rantau ini serta mengeratkan hubungan dengan komuniti tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Majlis Ulang Tahun ke-10 BMMY bertemakan ‘The Oscar Night’ di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, pada Sabtu.
Menurutnya, BMMY mensasarkan pertumbuhan lebih agresif dengan terus mengutamakan inovasi digital, sekali gus menghadapi cabaran global dan memperkukuh kedudukannya sebagai pangkalan pengeluaran utama Kumpulan Konica Minolta di rantau Asia Tenggara.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.