
MELAKA SEDIA TIGA INISIATIF PERKASA KESIHATAN AWAM
AYER KEROH 26 Mei – Sebanyak tiga inisiatif strategik disediakan Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Kesihatan Negeri Melaka bagi memperkasa aspek kesihatan awam dan menyantuni rakyat yang memerlukan rawatan kecemasan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, tiga inisiatif itu adalah Perkhidmatan Extended Hours Klinik Kesihatan, Perkhidmatan Tugas Atas Panggilan (On Call) serta Perkhidmatan Klinik Komuniti yang boleh diakses rakyat di kesemua tiga daerah.
Jelas beliau, perkhidmatan Extended Hours disediakan di tiga klinik utama, iaitu Klinik Kesihatan Peringgit, Klinik Kesihatan Jasin dan Klinik Kesihatan Alor Gajah yang waktu operasinya dilanjutkan bagi menampung kes-kes kecemasan.
Selain itu, ujar beliau, sebanyak 20 klinik kesihatan di seluruh Melaka juga akan menjalankan Perkhidmatan Tugas Atas Panggilan (On Call) melibatkan tujuh buah klinik di daerah Melaka Tengah, lapan klinik di daerah Alor Gajah dan lima klinik di daerah Jasin.
“Perkhidmatan Klinik Komuniti pula disediakan di semua daerah dan beroperasi setiap hari dari jam 12 tengah hari hingga 9 malam.
“Kesemua usaha ini bertujuan untuk membantu rakyat yang memerlukan akses rawatan kesihatan yang lebih cepat dan cekap. Terima kasih kepada warga kesihatan atas inisiatif ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpuan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Bagi Bulan Mei 2025 anjuran Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Wira Ibrahim Durum, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad, Exco Pelancongan Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, barisan Exco, Timbalan Exco, Ketua jabatan, agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.