Sorting by

×

WRUR SUNGAI UDANG BERJAYA SELESAI 50 PERATUS ADUAN

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

SUNGAI UDANG 26 Mei – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang berjaya menyelesaikan kira-kira 50 peratus aduan dan pemasalahan yang diterima.

Penyelaras DUN Sungai Udang Datuk Rais Yasin berkata, pihaknya menerima lebih 100 aduan berkaitan pelbagai masalah rakyat yang minta untuk diselesaikan.

Katanya, aduan yang diterima kemudian dikumpul pihak Japerun sebelum dikategorikan sama ada ia boleh diselesaikan segera, memerlukan pelan jangka pendek ataupun dikategorikan untuk tindakan pelan jangka panjang

“Daripada aduan yang diterima itu ada yang kita dapat selesaikan ‘on the spot’ dan ada juga perlukan masa untuk diselesaikan.

“Saya lihat hampir 50 peratus daripada lebih 100 aduan diterima sejak dari awal WRUR ini berlangsung dapat diselesaikan namun begitu masih ada lagi aduan yang perlu kita uruskan mengikut agensi yang terlibat.

“Antara pemasalahan yang memerlukan pelan jangka panjang adalah isu hakisan yang berlaku di Bertam Ulu kerana ia melibatkan peruntukan dari Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS),” katanya.

Rais yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, berkata demikian ketika ditemui pada Sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri Melaka Tahun 2025, di Dewan Keris Laksamana, Penjara Sungai Udang, di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd Rahman, diiringi Pengerusi Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Melaka (BISTARI), Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Ab Aziz; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin serta lain-lain kenamaan.

Terdahulu, pada program itu anugerah tokoh ibu disampaikan kepada empat penerima iaitu Zulhijah Abu Zarin (Anugerah Ibu Inspirasi 2025), Amanah Ibrahim (Anugerah Ibu Cekal 2025), Faridah Musa (Anugerah Ibu Usahawan 2025) dan Fairuz Aziha Shamsudin (Anugerah Ibu Waja 2025).

Menurut Rais, sepanjang berlangsungnya WRUR DUN Sungai Udang, pihaknya menerima reaksi positif dalam kalangan penduduk setempat, selain program yang diadakan turut mendapat sambutan hebat.

“Setakat ini saya masih berpuas hati dengan maklum balas masyarakat setempat. Malah program yang kita jalankan turut membabitkan semua pihak termasuk Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Komuniti Madani dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT).

“Saya yakin WRUR DUN Sungai Udang ini akan dapat menyelesaikan banyak masalah tertunggak dan berbaki lima hari lagi kita akan pastikan WRUR DUN Sungai Udang berjaya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

698
Kongsi :
Previous post MELAKA SEDIA TIGA INISIATIF PERKASA KESIHATAN AWAM
Next post INTERNET BERKUALITI TINGKATKAN PRODUKTIVITI PENDUDUK LENDU