
SETENGAH JAM TANGKAP ULAR SAWA BATIK 40KG
ASAHAN 27 Mei – Penduduk di Kampung Meriang, Nyalas, di sini, gempar dengan penemuan seekor ular sawa batik seberat 40 kilogram yang sedang berlingkar di bawa pokok, pagi semalam.
Reptilia sepanjang lebih 4.5 meter itu bagaimanapun berjaya ditangkap sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Menurut Pegawai Unit Pertahanan Awam Selandar, Leftenan (PA) Mohd Kamil Hassan, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 11.35 pagi dan menggerakkan tiga anggota penyelamat dari Pejabat Unit Pertahaan Awam (PUPA) Selandar ke lokasi.
Katanya, sebaik menemui ular sawa itu di bawah sebatang pokok, anggota PUPA Selandar telah menggunakan penyepit dan penjerut untuk memindahkan spesies berkenaan.
“Operasi agak sukar memandangkan ular sawa itu merupakan yang kedua terbesar pernah ditangkap dan ia agak agresif sehingga anggota terpaksa mengambil masa kira-kira 30 minit untuk memindahkannya.
“Difahamkan, ular itu ditemui pemilik tanah yang ingin membersihkan semak-samun di kawasan itu untuk membuat rumah,” katanya.
Sementara itu, pengadu, Azman Ayob, 62, berkata, tanah lot berkenaan adalah milik anaknya yang dibeli enam bulan lalu dan kerja-kerja pembersihan baru dimulakan tiga hari lalu.
“Memang saya berhati-hati tiap kali nak menebas semak samun apatah lagi sebelum ini pernah terserempak ular sawa batik ketika membersihkan tanah di Batu Berendam.
“Ketika kejadian, semasa mula menebas menggunakan mesin rumput tiba-tiba saya terpandang ular sawa berlingkar di dalam semak di kawasan lembah dan redup.
“Oleh sebab saiznya besar saya terus menghubungi talian 999 dan disambung kepada APM. Alhamdulillah saya bersyukur ular sawa itu berjaya ditangkap dan terima kasih kepada anggota APM yang telah membantu,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.