Sorting by

×

BESARKAN ANAK HINGGA BERJAYA, ZULHIJAH IBU INSPIRASI MELAKA

Masa Membaca:2 Minit, 35 Saat

SUNGAI UDANG 27 Mei – Enggan kepayahan hidupnya dilalui anak-anak, Zulhijah Abu Zarin, nekad mencurah keringat dalam mencari sumber rezeki halal, termasuk menjadi konduktor dan pemandu bas sekolah selama lebih 30 tahun.

Meskipun sibuk dengan tugas dan tanggungjawab menghantar dan mengambil murid sekolah, namun ibu kepada empat anak itu juga tidak pernah lupa menguruskan pendidikan anak-anaknya dan sentiasa sentiasa berpesan agar mereka memberi tumpuan penuh dalam pelajaran untuk berjaya.

Ternyata segala pengorbanan Zulhijah, 67, berbalas apabila dia kini mampu tersenyum dan rasa syukur apabila kesemua anaknya mempunyai kerjaya membanggakan dengan tiga daripada mereka kini bergelar pensyarah manakala anak keduanya pula merupakan seorang jurutera.

Menurut Zulhijah, dia yang hanya bersekolah sehingga tingkatan tiga mulanya tidak pandai membaca namun kerana kesungguhan ingin membaca dan menulis dia mula belajar ABC dari kanak-kanak tadika yang menaiki basnya.

“Disebabkan tiada peluang untuk terus belajar saya kemudian bekerja sebagai konduktor bas selama 16 tahun sebelum mengambil alih menjadi pemandu disebabkan itu saya tidak mahu anak-anak mengikuti jejak yang sama.

“Kerana mahukan anak-anak mempunyai kehidupan yang lebih baik dan berjaya saya tidak boleh hanya berdiam diri, ia perlu pengorbanan disebabkan itu walau sepenat mana pun mencari rezeki, didikan terhadap anak-anak perlu diutamakan.

“Untuk mereka berjaya, sebagai ibu kita perlu bagi semangat kepada anak-anak dan doakan mereka malah apa yang saya lakukan juga sejak dari kecil memanggil mereka dengan gelaran seperti profesor,” katanya.

Atas kesungguhan dan dedikasinya, Zulhijah dipilih sebagai Anugerah Tokoh Ibu: Ibu Inspirasi 2025 pada Majlis Sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri Melaka 2025 bersempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, di Dewan Keris Laksamana Penjara Sungai Udang, di sini, semalam.

Anugerah itu disampaikan isteri Yang di-Pertua Negeri Melaka, Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd Rahman dengan diiringi Pengerusi Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Melaka (BISTARI) Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Ab Aziz; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin serta kenamaan lain.

Nenek kepada 15 orang cucu itu berkata, setiap ibu bapa pastinya mahukan anak-anak mereka berjaya dan mempunyai kehidupan jauh lebih baik, begitu juga untuknya dan suami.

“Apabila anak-anak berjaya dan senang mereka juga yang menikmati bersama keluarga, sebagai ibu bapa kami hanya tumpang gembira kerana sudah dapat laksanakan tanggungjawab sebaiknya.

“Bukannya mahukan balasan namun ucapan terima kasih dari anak-anak sudah cukup menggembirakan. Setiap kali anak-anak ucapkan terima kasih kerana berjaya mendidik mereka sehingga berjaya ia membuatkan saya sebak.

“Walaupun dulu mereka mengatakan saya garang, kini mereka tahu sebab dan alasannya namun begitu bagi saya semua rezeki dan nikmat ini adalah dengan izin Allah S.W.T,” katanya.

Jelasnya, dia amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana memilihnya untuk menerima anugerah yang tidak pernah disangka-sangka itu.

Terdahulu, pada majlis itu juga tiga lagi anugerah tokoh ibu turut sampai kepada penerima lain iaitu Amanah Ibrahim (Anugerah Ibu Cekal 2025), Faridah Musa (Anugerah Ibu Usahawan 2025) dan Fairuz Aziha Shamsudin (Anugerah Ibu Waja 2025).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

770
Kongsi :
Previous post WRUR: MCORP, SM-WEZ AGIH KIT MAKANAN KEPADA 100 ASNAF DUN LENDU
Next post PEMANDU ‘BAS PINK’ TERBABIT KEMALANGAN DI ALOR GAJAH DIREMAN TIGA HARI