
PROGRAM AGAMA SINARI WRUR SUNGAI UDANG
SUNGAI UDANG 27 Mei – Selain memberi penekanan terhadap pembangunan, pendidikan, permasalahan rakyat dan kebajikan, program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang turut disinari dengan program-program keagamaan.
Penyelaras DUN Sungai Udang, Datuk Rais Yasin berkata, ia dibuktikan apabila pelbagai program memperkukuh syiar Islam telah diadakan dan dirangka sepanjang dua minggu berlangsung WRUR, antaranya ceramah agama, Gegau Subuh, ziarah asnaf dan lain-lain lagi dengan kerjasama Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) serta Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).
Malah, beliau memaklumkan, satu daripada empat program berskala besar yang diadakan adalah program kerohanian iaitu Sungai Udang Berselawat yang diadakan di Japerun Sungai Udang pada Khamis ini.
“Sepanjang WRUR DUN Sungai Udang ini beberapa program keagamaan telah diadakan seperti Gegau Subuh dan Ceramah Keluarga Bahagia yang disampaikan pendakwah bebas iaitu Datuk Mohd Kazim Elias.
“Malah untuk Sungai Udang Berselawat pula kita menjemput penceramah terkenal Datuk Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim untuk bersama-sama umat Islam, termasuk menyampaikan ceramah,” katanya.
Rais yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri berkata, seluruh umat Islam di sekitar Sungai Udang dan seluruh Melaka dijemput untuk bersama-sama mengimarahkan WRUR Sungai Udang dengan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.
“Kita mahukan semua rakyat tidak mengira lapisan masyarakat dan peringkat usia terlibat sepanjang berlangsungnya WRUR.
“Justeru itu saya amat mengalu-alukan bukan sahaja penduduk Sungai Udang tetapi semua untuk hadir ke Sungai Udang Berselawat yang diadakan ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.