
PELAJAR CEMERLANG SPM PUJI KEPRIHATINAN AB RAUF
AYER KEROH 5 Jun – Pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 menzahirkan rasa syukur dan terharu apabila menerima insentif khas daripada Kerajaan Negeri Melaka.
Pemberian insentif menerusi Inisiatif Bijak Sejarah dan Cemerlang SPM itu bertujuan menghargai kecemerlangan anak Melaka dalam bidang akademik selain mereka yang memperoleh A+ dalam subjek Sejarah.

Muhammad Hanif Shamsul, 18, dari Tanjung Kling yang memperoleh keputusan 9A, melahirkan rasa syukur kerana terpilih sebagai antara penerima Anugerah Pelajar Cemerlang menerusi inisiatif itu.
“Saya sangat berterima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh atas anugerah diberikan ini. Beliau seorang pemimpin yang sangat cakna terhadap pendidikan anak-anak Melaka dan memberi contoh yang baik kepada lepasan SPM seperti kami.
“Alhamdulillah, saya akan menyambung pengajian di institut pengajian tinggi awam (IPTA), mendapatkan segulung ijazah dan insya-Allah pulang ke bumi bertuah ini untuk berbakti kepada rakyat Melaka,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini.
Terdahulu Muhammad Hanif menerima anugerah berkenaan pada Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang SPM Bijak Sejarah A+ Tahun 2024 dan Majlis Pelancaran Bijak SPM Tahun 2025 Negeri Melaka yang disampaikan Ab Rauf di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Sementara itu seorang lagi penerima insentif, Aina Sofea Mohd Azmi, 18, dari Ayer Keroh turut berkongsi kegembiraan apabila segala usahanya bagi memperoleh 9A pada peperiksaan SPM 2024 yang lalu mendapat perhatian Kerajaan Negeri.
Berkongsi kegembiraannya, Aina Sofea amat berterima kasih kepada Ketua Menteri dan Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) atas insentif diberikan.
“Semua ini adalah satu penghargaan besar buat kami yang berusaha bersungguh-sungguh dalam pelajaran, termasuk memperoleh A+ bagi subjek sejarah. Saya lihat beliau (Ab Rauf) seorang pemimpin yang sangat mengutamakan pendidikan dan sentiasa memberi dorongan serta semangat kepada pelajar untuk terus maju.
“Penghargaan ini bukan sahaja memberi suntikan semangat kepada pelajar, tetapi juga menggambarkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam membangunkan modal insan berkualiti untuk masa depan Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.