Sorting by

×

JADIKAN MELAKA HAB KESIHATAN TERKEMUKA ASIA TENGGARA

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

AYER KEROH 19 Jun – Melaka bersedia menjadi hab kesihatan terkemuka Asia Tenggara dengan memanfaatkan teknologi kesihatan dari Jerman, yang dibangunkan Fujifilm Healthcare.

Usaha itu dilakukan menerusi lawatan rasmi delegasi Kerajaan Negeri Melaka yang diketuai Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh ke syarikat berkenaan yang yang berpangkalan di Munich, semalam.

Ketua Menteri berkata, Fujifilm Healthcare telah membangunkan teknologi canggih dalam bidang kesihatan daripada pencegahan, diagnosis, rawatan, sehinggalah aplikasi kecerdasan buatan (AI) membuka ruang besar untuk kolaborasi strategik bersama Putra Specialist Hospital Melaka.

Menurut beliau, antara agenda penting dalam lawatan itu adalah cadangan perolehan mesin MRI berteknologi tinggi untuk Putra Specialist Hospital Melaka dan hospital baharu yang sedang dirancang, selain usaha mempercepatkan akses perkhidmatan, mempertingkat rawatan dan mengurangkan waktu menunggu pesakit.

“Pada masa sama, lawatan ini juga berupaya menarik pelaburan atau potensi penubuhan pusat R&D oleh Fujifilm di Melaka pada masa depan.

“Terima kasih kepada Mr. Ulf Neumann (Pengurus Jualan Wilayah Fujifilm Healthcare Jerman) atas perkongsian yang sangat bermakna.

“Dengan kepakaran yang ada, saya percaya inovasi ini mampu memperkukuh ekosistem kesihatan negeri melalui hospital milik penuh kerajaan negeri iaitu Putra Specialist Hospital Melaka,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi beliau.

Terdahulu, lawatan kerja itu turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Ketua Pegawai Eksekutif Putra Specialist Hospital Melaka Mohd Zahiruddin Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif Melaka ICT Holdings Sdn Bhd Dr. Nazdiana Ab. Wahab serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ab Rauf, menerusi lawatan dan kerjasama bersama syarikat global itu, Kerajaan Negeri optimis Melaka mampu muncul sebagai hab kesihatan terkemuka di rantau ini, bukan sahaja dari sudut rawatan, bahkan inovasi dan teknologi kesihatan pada masa akan datang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

551
Kongsi :
Previous post KONDA KONDI KE PERSADA DUNIA
Next post BAPA, BAYI LELAKI PERGI SERENTAK