Sorting by

×

MELAKA ‘ASAH’ BAKAT SENI ANAK MUDA PADA HUJUNG MINGGU

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

AYER KEROH 5 Julai – Program Bimbingan Hujung Minggu (PBHM) anjuran Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri (JKKN) Melaka, siri ketiga tahun 2025 mendapat sambutan menggalakkan dengan lebih 300 penyertaan.

Pengarah JKKN Melaka Ezlina Alias berkata, setiap tahun pihaknya merekodkan peningkatan jumlah peserta melibatkan kanak-kanak dan remaja yang ingin aktif dalam seni tarian, seni lakon (teater) serta seni silat.

Katanya, PBHM adalah inisiatif latihan dilaksanakan secara percuma di Kompleks JKKN pada setiap Ahad, namun peserta dan ibu bapa diminta memberikan komitmen dengan memanfaatkan sepenuhnya peluang diberikan kepada mereka.

“Sambutan amat menggalakkan apabila untuk tahun ini seni tarian sahaja perlu dibahagikan kepada tiga sesi dengan setiap sesi melibatkan 30 peserta, begitu juga dengan seni silat apabila menerima 30 pelajar baharu.

“Seni lakon turut mendapat sambutan dan menariknya ada ibu bapa berminat dan turut serta. Boleh dikatakan secara keseluruhan termasuk dengan pelajar yang mendaftar tahun ini, kita mempunyai hampir 300 peserta PBHM,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Ezlina lagi, pihaknya menerima maklum balas amat baik daripada ibu bapa yang memaklumkan anak mereka menunjukkan perubahan positif apabila tampil lebih berkeyakinan dan berani selepas mengikuti sesi PBHM.

“Program ini amat bermanfaat kerana peserta bukan sahaja diberi pendedahan berkenaan seni, tetapi pada masa yang sama ia meningkatkan lagi tahap keyakinan diri mereka.

“Kami juga menubuhkan persatuan bagi menghimpunkan peserta atau pelajar yang sudah tamat, tetapi masih berminat mengikuti PBHM. Susulan itu JKKN bersama tenaga pengajar mengambil keputusan menubuhkan Persatuan Anak Seni Taman Budaya, jadi menerusi persatuan lebih banyak program dapat dilaksanakan.

“Peserta PBHM turut terbabit dan dipanggil mengadakan persembahan bagi program-program anjuran Kerajaan Negeri. Sementara itu 12 Julai depan akan berlangsung Muzikal Tari BEGHAOK! menampilkan persembahan peserta PBHM,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

416
Kongsi :
Previous post RENTAK BERTANDAK PEMANGKIN PULIHARA AKAR BUDAYA – KSU MOTAC
Next post WRUR MEDAN MEMBUDAYAKAN PENTADBIRAN TURUN PADANG