Sorting by

×

NENEK BERSYUKUR TIADA LAGI ALAMAT ‘KUNO’ SELEPAS 50 TAHUN

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

BEMBAN 4 Julai – Pengenalan alamat digital yang dilengkapi kod QR terus ke lokasi rumah menamatkan penantian penduduk kampung yang masih menggunakan alamat perbatuan dan kilometer (km) selama hampir setengah abad.

Begitulah inisiatif Kampung Digital diilhamkan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh mendapat pujian daripada penduduk Kampung Ulu Duyung, Fatimah Bachik, 63, yang teruja menerima alamat baharu yang lebih lengkap dan mudah diakses.

Jelasnya, inisiatif tersebut sememangnya memudahkan urusan penduduk kampung terutamanya dalam perkhidmatan pos, logistik dan penerimaan bantuan.

Fatimah turut mengakui bahawa sebelum ini dia sering berdepan dengan pelbagai keluhan mengenai kekeliruan lokasi kampung itu yang masih menggunakan alamat batu dan km selama 50 tahun.

“Dulu guna alamat batu. Selepas itu tukar kepada km tapi masalah tidak selesai sebab banyak kali posmen mengadu susah cari rumah nenek.

“Sekarang ini apabila tukar kepada alamat digital bermakna selaras dan diharapkan tiada lagi masalah penghantaran barang dan sebagainya.

“Berterima kasih sangatlah dengan Kerajaan Negeri kerana telah banyak bawa perubahan. Kita pun sebagai ‘orang lama’ tidaklah rasa seperti ketinggalan zaman,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Fatimah merupakan antara 2,510 pemilik rumah yang diberikan alamat baharu dilengkapi kod QR sempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban.

Terdahulu, penampalan pelekat alamat baharu itu telah disempurnakan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan dan turut hadir Penyelaras DUN Bemban Mohd Raziff Yakop.

Mengikut rekod, sebanyak 37 buah kampung tradisional dalam kawasan DUN Bemban ditransformasikan kepada Kampung Digital bersempena program WRUR yang berlangsung 22 Jun hingga 5 Julai.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

714
Kongsi :
Previous post ‘MHS THUNDERBOLTS’ SASAR 5 TERBAIK LIGA HOKI REMAJA MALAYSIA
Next post MELAKA DIDIK KOMUNITI CAKNA CEGAH KEBAKARAN