
RENTAK BERTANDAK PEMANGKIN PULIHARA AKAR BUDAYA – KSU MOTAC
BANDA HILIR 5 Julai – Penganjuran Rentak Bertandak Antarabangsa 2025 dilihat mampu memulihara akar budaya dan menyemai rasa cinta warisan dalam kalangan generasi muda.
Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata dalam dunia yang ghairah mengejar digitalisasi dan pembangunan lestari, warisan tidak boleh di biarkan terpinggir.
Katanya, budaya bukan sekadar warisan silam, tetapi aset masa depan dan tanpa budaya, jiwa bangsa akan hilang.
“Maka pelestarian seni dan warisan bukan hanya tugas seniman, tetapi misi nasional, seiring dengan prinsip Malaysia MADANI yang menekankan kelestarian, hormat dan kesejahteraan.
“Kejayaan Rentak Bertandak Antarabangsa 2025 ini bukanlah penamat, tetapi permulaan kepada rentak yang lebih besar. Kita mahu rentaknya bergema bukan sahaja di Jalan Kota, tetapi ke seluruh negara,sepanjang zaman,
“Program ini bukan semata-mata festival pelancongan, tetapi satu pernyataan bahawa budaya ialah kekuatan, dan warisan ialah pelaburan masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Gala Rentak Bertandak Antarabangsa Melaka 2025 yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Perkarangan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin dan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta kenamaan lain.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.