Sorting by

×

WTD, WTC 2025 PELUANG WARISAN SENI, BUDAYA MELAKA MENYINAR

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

BANDA HILIR 6 Julai – Penganjuran Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) bakal menjadi medan terbaik mempromosikan keunikan warisan seni dan budaya Negeri Melaka ke peringkat dunia.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, seni dan budaya yang ada di negeri ini merupakan sesuatu yang sangat bernilai dan wajar untuk diangkat serta dipersembahkan kepada dunia pada acara itu nanti.

Ujar beliau, selain persembahan kebudayaan, antara warisan yang akan diangkat adalah dalam bentuk permainan tradisional iaitu konda kondi yang boleh diketengahkan selepas ia diberi sentuhan baharu oleh Kerajaan Negeri.

“Malah, konda kondi ini akan menjadi cenderamata eksklusif kepada delegasi pelancongan yang hadir pada WTD dan WTC 2025 nanti.

“Konda kondi alaf baharu ini amat mudah untuk dikaji permainannya kerana kita telah meletak kod respons pantas (QR Code) dan ia boleh terus diakses cara permainannya, sekali gus bakal mengangkat permainan tradisional ini di persada antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pra-Peluncuran WTD 2025 dan Sambutan Ulang Tahun Ke-17 Melaka sebagai Bandaraya Warisan Dunia UNESCO di perkarangan Stadthuys, di sini, malam tadi.

Majlis itu telah disempurnakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing yang mewakili Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad dan duta dan pesuruhjaya tinggi ke Malaysia; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain dif kehormat.

Img 20250706 013602 545
ANTARA persembahan kebudayaan menarik yang disajikan kepada tetamu dan pengunjung yang hadir. Foto Iqmal Haqim Rosman

Menurut Ab Rauf, bersempena WTD dan WTC 2025 juga, Kerajaan Negeri bakal menganjurkan pameran-pameran sejarah Melaka yang sebelum ini tersembunyi dan belum diketengahkan.

Jelas beliau, ia bukan sahaja bakal menjadi tarikan baharu kepada pelancong, bahkan mereka dapat mengetahui kehebatan Melaka ketika kurun ke-14 dan ke-15 lalu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1551
Kongsi :
Previous post 27-29 SEPTEMBER 2025, MELAKA BAKAL JADI TUMPUAN DUNIA
Next post MALAYSIA LULUS 8 LALUAN ANTARABANGSA BAHARU TAHUN INI