
PERKENAL KARNIVAL WRUR PERINGKAT SEKOLAH
ALOR GAJAH 7 Julai – Kerajaan Negeri bercadang memperkenalkan Karnival Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) peringkat sekolah bagi menyelaras penganjuran program tanpa menggangu sesi pembelajaran.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, pendekatan itu antara penambahbaikan hasil ‘post-mortem’ Program WRUR yang dilihat amat memberikan manfaat kepada masyarakat.
“Apabila banyak agensi mahu masuk ke sekolah dengan pelbagai program, kita lihat ada keperluan untuk susun semula dan buat secara karnival pada satu tarikh yang sama.
“Kita akan bincang dengan pihak sekolah, mungkin dilaksanakan pada hari kokurikulum seperti Rabu atau hujung minggu, supaya tidak mengganggu jadual pembelajaran,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Menyantuni Anak-Anak Yatim Parlimen Alor Gajah sempena 10 Muharam 1447H di Masjid Khalid Al-Walid, Kampung Ayer Pasir, Machap Jaya, di sini, semalam.
Fairul Nizam yang juga Penyelaras WRUR berkata pendekatan karnival itu juga bakal melibatkan penyertaan kelab dan persatuan sekolah serta ibu bapa sekiranya dilaksanakan pada hari cuti.
“Kesesuaian pelaksanaan karnival akan dilihat pada penganjuran WRUR di DUN Duyong nanti. Jika tidak ada sebarang masalah dan sudah bersedia, cadangan ini akan mula dilaksanakan pada penganjuran WRUR DUN Rembia,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.